Wuduk sempurna kena ikut sunnah Rasulullah

Posted: 26 April 2010 in Persoalan Agama
Tags: , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

BOLEHKAH ustaz menjelaskan maksud membasuh anggota wuduk seperti muka, tangan, kepala dan kaki. Adakah memadai dengan hanya mencurahkan air ke atasnya seperti kebanyakan orang hanya menghulurkan kakinya ke air paip yang mengalir tanpa menggosoknya dengan tangan?

Apabila merujuk soal berwuduk, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian kepala kamu dan basuhlah kedua-dua belah kaki kamu meliputi buku lali…”

Begitu juga dalam hadis Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita cara berwuduk dengan sempurna. Pertama, sunat membaca Bismillah seperti hadis daripada Abu Hurairah ra, Nabi SAW bersabda: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk dan tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah SWT untuk mengerjakannya (Rujuk Muntaqa 1: 83).

Kedua, sunat membasuh tangan sehingga pergelangan tangan. Sebagai mana hadis daripada Aus as-Saqafi: “Saya melihat Rasulullah SAW berwuduk, baginda memulakan dengan membasuh dua telapak tangan tiga kali.”

Ketiga, berkumur dan menghirup air hingga ke hidung sebagai mana hadis daripada Abdu Khair yang berkata: “Ali pernah meminta air wuduk, maka beliau pun berkumur-kumur serta menghirup air ke hidungnya dan menghembuskan dengan tangan kiri (mempergunakan tangan kiri buat memegang batang hidung). Beliau berbuat demikian tiga kali. Akhirnya ia berkata: Beginilah cara wuduk Rasulullah SAW.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i).

Keempat, menyapu kepala sebagai mana hadis daripada Ibn Abbas: “Saya melihat Rasulullah SAW berwuduk dengan menyapu kepalanya dan kedua-dua telinganya sekali.” Abu Hanifah, Malik dan Ahmad berpendapat bahawa menyapu kepala sekali saja. Asy Syafi’y memberi kiasan bilangan menyapu kepala kepada bilangan membasuh anggota lainnya.

Kelima, membasuh kaki meliputi buku lali sebagai mana hadis daripada Abdullah ibn Amr yang berkata: “Pada suatu ketika dalam satu perjalanan dari Makkah ke Madinah, Nabi SAW tertinggal di belakang. Ketika Rasulullah SAW menemui kami, solat Asar sudah sedikit terlambat dari awal waktunya. Ketika Rasulullah SAW tiba, kami pun cepat-cepat berwuduk mengambil air wuduk dengan sapu kaki bersahaja (tanpa disempurnakan). Perbuatan kami itu ditegah Rasulullah SAW dengan Baginda meninggikan suara: “Kecelakaan dari api neraka bagi segala tumit (yang tidak cukup basuh dua atau tiga kali) (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Begitu juga hadis daripada Anas ibn Malik berkata: “Bahawasanya seorang lelaki (Umar ibn Khattab) datang kepada Nabi sesudah berwuduk dan kelihatan ada sedikit yang tidak kena air basuhan di belakang kakinya sebesar kuku. Melihat itu Nabi pun bersabda: “Kembalilah perbaiki wudukmu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ad-Daraquthny).

Seterusnya hadis daripada Khalid ibn Ma’dan, daripada sebahagian isteri Rasulullah SAW berkata: “Bahawasanya Nabi SAW melihat seorang lelaki bersolat sedangkan di telapak kakinya ada yang tidak kena air sebesar dirham. Maka Rasulullah SAW memerintahkannya mengulangi wuduk dan solatnya.” (Riwayat Ahmad).

Jumhur ulama berpendapat bahawa segala anggota wuduk wajib dibasuh dengan lengkap sempurna seperti mana sebuah hadis daripada Abu Hayyan yang berkata: “Saya melihat Ali berwuduk dengan cara membasuh kedua-dua telapak tangannya hingga bersih, kemudian berkumur-kumur (madhmadah) tiga kali, memasukkan air dalam hidung tiga kali, membasuh muka tiga kali, membasuh tangan (hingga siku) tiga kali, menyapu kepala sekali. Kemudian membasuh kedua kali hingga mata kaki. Sesudah itu beliau berkata: Saya suka untuk menunjukkan kepada kamu, begitulah wuduk Rasulullah SAW. (Riwayat Tirmizi). Wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s