Keistimewaan Ramadan tiada bandingan

Posted: 18 August 2010 in Persoalan Agama
Tags: , , , ,

Oleh : Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA isteri kedua dan suami pula jarang berada di rumah. Persoalannya, apakah hukum jika isteri itu berpuasa sunat atau qada tanpa memberitahu suami? Persoalan kedua, adakah amalan sunat yang dilakukan pada hari puasa sunat atau qada akan mendapat ganjaran seperti pada Ramadan?

Berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim Nabi melarang seseorang wanita berpuasa sunat ketika suaminya ada di sisinya kecuali dengan izin. Sabda Nabi yang bermaksud: “Tidak dibolehkan seorang isteri berpuasa sunat ketika suaminya ada di rumah kecuali dengan izinnya.”

Ini disebabkan antara ketetapan syarak, bahkan salah satu daripada objektif penting pernikahan ialah suami berhak mendapat layanan daripada seorang isteri, antaranya memenuhi keperluan seksualnya. Namun demikian, dapatlah difahami daripada hadis ini, sekiranya suami tidak ada di samping kerana menjalankan kewajipan kepada madunya atau berkursus di tempat lain dalam jarak yang dianggap bermusafir, diharuskan bagi wanita itu untuk berpuasa sunat.

Mengenai kemusykilan kedua, kelebihan yang diperuntukkan Allah pada Ramadan tidak akan berulang pada bulan lain berdasarkan dalil naqli dan aqli.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Dalam ayat sebelumnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu.

Jelas al-Qurtubi dalam tafsirnya, ayat ke 184 dan 185 ini menandakan secara jelas kelebihan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Ternyata kelebihan Ramadan tidak akan berulang pada waktu lain.

Lebih tegas daripada ayat ini ialah sabda Nabi Muhammad SAW dalam khutbah yang disampaikan pada hujung bulan Syaaban seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud: “Sesungguhnya datang kepadamu Ramadan yang penuh dengan keberkatan, Allah menetapkan ke atas kamu semua ibadat puasa sebagai kewajipan, dibukakan padanya pintu syurga, ditutupkan padanya pintu neraka, diikat syaitan dalam bulan ini. Dalam bulan ini, terdapat satu malam yang lebih utama daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kelebihan Ramadan akan terus terhalang daripada memperoleh kebaikannya.”

Mengenai kelebihan Ramadan dan mengapa Allah SWT memilih bulan ini, ahli tafsir al-Quran Indonesia yang terkemuka Almarhum Prof Dr Hasbi Siddiqiy, berkata jawapannya terletak pada firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 68 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan).”

Ayat ini memberikan gambaran bahawa ketetapan Allah meletakkan Ramadan sebagai waktu yang dimuliakan dan penuh keberkatan adalah anugerah-Nya sebagai ihsan dan rahmat kepada manusia, agar mempertingkatkan usaha pada musim yang tertentu. Ini kerana resam manusia sememangnya amat lemah untuk melakukan ibadat secara istiqamah sepanjang tahun. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s