Wanita haid dilarang masuk masjid

Posted: 19 January 2011 in Persoalan Agama
Tags: , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ada dua persoalan. Pertama, apakah hukum wanita haid masuk ke ruang solat surau kerana hendak mendengar kuliah agama. Kedua, dalam solat kita tidak boleh mengungkap lebih daripada dua perkataan yang boleh terbatal solat. Pada suatu ketika, ketika sujud saya tersebut `subha’, kemudian saya mengulangi subhanallah. Ketika bangun daripada sujud saya sepatutnya berkata `Allahuakbar’ tapi saya menyebut `Allahurabbi’. Jika kita mengulangi membaca surah al-Fatihah kerana hendak memperbetulkan bacaan, adakah kita perlu baca dari awal surah al-Fatihah atau ulang setakat yang kita rasa salah? Contohnya saya nak perbetul ayat `ihdinassirotolmustaqim’. Adakah saya perlu baca dari ayat mula `Alhamdulillahirobbil a’lamin.’

Masjid

MERUJUK masalah wanita haid masuk ke masjid, kalangan ulama berbeza pendapat. Imam Malik dan pengikutnya tidak memberi peluang sedikit pun bagi mereka untuk memasukinya. Imam as-Syafi’i dan sekian banyak ulama lain hanya membolehkan wanita haid sekadar berlalu bukan menetap.

Ini bertitik tolak daripada pemahaman mereka atas firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 43 (yang bermaksud): “Wahai orang beriman, jangan mendekati solat dalam keadaan mabuk sehingga kamu menyedari apa yang kamu ucapkan. Tidak juga berjunub kecuali sekadar berlalu saja.”

Apabila kita meneliti ayat di atas, ia berbicara mengenai junub iaitu yang tidak suci disebabkan melakukan hubungan seks atau keluar sperma, sedangkan haid tidak termasuk dalam pengertian berkenaan.

Namun demikian, sebahagian ulama berpendapat haid lebih berat daripada junub sehingga kalau junub saja sudah dilarang, sudah tentu haid lebih-lebih lagi. Ini dikuatkan dengan beberapa hadis Nabi SAW, seperti diriwayatkan Ibnu Majah melalui Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW menyampaikan dengan nada keras: “Masjid tidak dibenarkan (untuk dikunjungi) oleh haid dan junub.”

Berkaitan pertanyaan di atas, saya tekankan bahawa penghormatan pada masjid memerlukan kita melaksanakan tuntutan di atas. Bagaimanapun, ada ulama yang memahami larangan itu hanya berlaku khusus untuk Masjid al-Haram (Makkah) dan Masjid Nabawi (Madinah).

Bahkan, seperti ditulis as-Syaukani dalam buku beliau berjudul Nail al-Authar, iaitu larangan ini disebabkan kebimbangan terjadinya sesuatu (terhadap kebersihan masjid) dari haid.

Pendapat itu didukung oleh (sahabat Nabi) Zaid Tsabit. (Sila rujuk Nail al-Authar). Sekiranya jika tidak ada kebimbangan, maka dalam pandangan sahabat Nabi ini, wanita yang haid dapat dipertimbangkan untuk duduk di serambi masjid.

Bagi soalan kedua, sekiranya ucapan itu tidak disengajakan, tidak membatalkan solat. Anda cuma perlu membetulkan semula. Begitu juga dalam membaca al-Fatihah, jika ada kesalahan pada akhir ayat atau pertengahan, tidak perlu mengulang baca daripada awal.

Memadailah anda membetulkan tempat yang berlaku kesalahan dan seterusnya baca sehingga akhir surah.

Sekiranya masih tidak fasih dan tidak lancar dalam sebutan atau bacaan, perlu dipertingkatkan dengan berguru agar kita lebih yakin dan betul dalam membacanya seperti ia diturunkan. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s