Nama pengaruhi keperibadian insan

Posted: 19 April 2011 in Persoalan Agama
Tags: , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

ASSALAMMUALAIKUM ustaz. Adakah nama boleh menjadi tidak sesuai untuk seseorang seperti menggunakan nama ulama dan pemimpin Islam tersohor. Ketika di sekolah dulu, ada guru mengatakan saya berat nama. Sehingga kini saya kurang berjaya seperti rakan sebaya yang lain. Apa yang saya inginkan tidak menjadi. Apakah kerana kesilapan dosa lalu atau punca lain.

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah, waba’du. Rasulullah SAW banyak mengubah nama tidak baik maksudnya kepada nama yang baik atau lebih sesuai.

Nama penting kerana pada Hari Kiamat, manusia dipanggil dengan nama sendiri dan nama ayahnya seperti dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Darda, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya pada Hari Kiamat, kamu dipanggil dengan nama kamu dan ayahmu. Oleh kerana itu, namakan nama kamu dengan nama yang baik.”

Kedua, nama mempunyai pengaruh terhadap keperibadian dan merupakan doa seperti diriwayatkan Malik dalam kitab Muwaththa, daripada Yahya Sa’id, Umar al-Khatthab pernah bertanya seseorang: “Siapa namamu? Orang itu menjawab: Jamrah. Umar bertanya lagi: Anak siapa? Orang itu menjawab: Anak Syihab. Umar bertanya lagi: Daripada kabilah mana? Orang itu menjawab: Daripada kabilah al-Harqah. Di mana tempat tinggalmu? Di kampung Nar (api). Umar bertanya lagi: Di daerah mana? Orang itu menjawab: Di Dzati Lazha.”

Umar terus berkata kepadanya: “Segeralah pulang. Temuilah keluargamu. Mereka semua terbakar.” Ternyata apa yang dikatakan Umar itu berlaku.

Nabi SAW tidak suka dengan nama buruk dan sangat membencinya jika ia digunakan untuk manusia, tempat, kabilah atau gunung. Justeru, banyak nama yang ditukar Rasulullah SAW.

Abu Bakar Munzir meriwayatkan daripada Ali beliau berkata: Ketika Hasan lahir, aku memberinya nama Harb (perang). Kemudian datang Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang kamu berikan? Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: “Jangan, dia adalah Hasan.”

Ali berkata: “Ketika Husain lahir, aku menamakannya Harb. Lalu datang Nabi SAW, Baginda berkata: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan?” Kami katakan: Harb. Baginda bersabda: Jangan, dia adalah Husain.”

Ali berkata: “Ketika anak ketiga lahir, aku memberinya nama Harb juga. Lalu datang Nabi SAW dan bertanya: Perlihatkan kepadaku cucuku. Apakah nama yang engkau berikan? Kami katakan: Harb. Baginda pun bersabda: Jangan, dia adalah Muhsin. Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya: Sesungguhnya aku menamakan mereka seperti nama anak Harun iaitu Syabbar, Syabbir, dan Musyabbir.

Dalam kitab Mushannaf, Ibnu Abu Syaibah ada pula riwayat daripada Khautsamah. Beliau berkata” “Dulu pada masa jahiliah, nama ayahku Aziz, maka Rasulullah SAW mengubahnya menjadi Abdurrahman.”

Dalam kitab al-Adab, Imam al-Bukhari meriwayatkan: Ibnu Abdul Rahman Said al-Makhzumi pernah menceritakan sebelumnya beliau bernama ash-Sharm, lalu Rasulullah SAW memberinya nama Said.

Raithah Muslim pernah menceritakan kepadaku daripada ayahnya, beliau berkata: “Saya mengikuti perang Hunain bersama Rasulullah SAW, lalu Baginda bertanya kepadaku: Siapakah namamu? Saya menjawab: “Ghurab. Baginda bersabda: Jangan, namamu sekarang ialah Muslim.”

Perubahan nama dilakukan selain kerana tidak baik dan makruh, kadangkala kerana maslahatan lain meskipun nama itu sebenarnya sudah bagus seperti dilakukan Rasulullah SAW ketika mengubah nama Barrah menjadi Zainab kerana Baginda tidak suka mendengar seseorang seolah-olah mengaku dirinya suci.

Perkara itu dinyatakan dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah, bahawa Zainab dulunya bernama Barrah. Maka orang berkata: Beliau mengaku dirinya suci. Oleh kerana itu Rasulullah SAW memberinya nama Zainab.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, saya mendapat anak. Nama apakah yang terbaik untuknya? Baginda SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya nama yang baik untuk kamu semua adalah Harits dan Hammam. Nama paling bagus adalah Abdullah dan Abdul Rahman. Berilah nama dengan nama di kalangan nabi dan jangan memberi nama dengan nama Malaikat.”

Saudara, saya tidak pasti nama yang saudara maksudkan. Namun sekiranya nama itu termasuk dalam nama yang diharamkan, maka sewajarnya nama saudara ditukar. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s