Berzikir tidak terbatas selepas solat

Posted: 4 May 2011 in Persoalan Agama
Tags: , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

KITA sememangnya maklum zikir menjadi sebahagian proses memantapkan diri sebagai seorang Muslim. Persoalannya, apakah yang dinyatakan kitab suci al-Quran mengenai zikir ini.

FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 , maksudnya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak, Allah sudah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Berdasarkan ayat ini di kalangan ulama, contohnya Mulla ‘Ali al-Qari muhaddith menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, ibadat yang paling utama dilakukan selepas membaca al-Quran dan mempelajari hadis ialah berzikir.

Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku apabila dia mengingati-Ku dan selagi bibirnya menyebut-Ku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.

Dalam sebuah hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah SWT pada setiap yang ada disisi-Nya”.

Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan dilalui sebagai zikrullah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu? Al-Imam An-Nawawiy, seorang pakar fiqah bermazhab Syafie yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT adalah zikir. Jika difahami perkara ini maka bukan saja pertuturan mempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir .

Penjelasan ini berteraskan kepada hadis dan al-Quran yang menjelaskan perkara berkenaan. Hal ini sekali gus menafikan tanggapan sempit masyarakat bahawa zikir hanya terbatas dalam persekitaran ibadat khusus seperti selepas solat atau pada waktu tertentu.

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Al-Ihya’, setiap episod yang dilalui dari pagi hingga malam hendaklah dipastikan menjadi ibadat kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mesti bermula dengan hubungan langsung dengan Allah SWT. Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan solat tahajud diikuti sunat hajat.

Selesai solat Subuh, Muslim menuju ke tempat kerja dan kerja itu adalah peluang beribadat kepada Allah SWT dengan menepati syarat ditetapkan Islam. Pada waktu pagi, lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit, Muslim jangan melepaskan peluang untuk beribadat dengan menunaikan solat duha atau menunaikan keperluan seseorang Muslim yang lain.

Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya.

Menjelang waktu Zuhur pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat Zuhur. Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat iaitu tidur untuk membolehkannya Qiamullail. Apabila masuk waktu Asar, tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya aktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti rekreasi, riadah dan kreativiti.

Waktu antara Maghrib dan Isyak hendaklah diisi dengan sebaiknya, sama ada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat.

Seterusnya selesai solat Isyak, eloklah kiranya diisi dengan program al-Quran seisi keluarga. Antara surah digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah.

Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dibacakan surah penyelamat dari seksa kubur, iaitu surah al-Mulk. Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s