Isteri jangan dizalimi walaupun tak suka

Posted: 6 May 2011 in Persoalan Agama
Tags: , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin mengetahui ciri-ciri suami derhaka dalam konsep Islam. Bagaimanakah seorang suami boleh terjerumus ke arah suami derhaka? Adakah suami derhaka dianggap satu dosa dalam Islam.

DALAM surah an-Nisa’ ayat 19, Allah SWT berfirman: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci terhadap mereka (disebabkan tingkah lakunya, jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut agar suami melayan isterinya dengan baik dan tidak menzalimi mereka. Orang berakhlak mulia adalah orang yang baik dengan isterinya seperti dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” Begitu juga sabdanya lagi: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.”

Justeru, mereka yang sudah bergelar suami perlu bersikap bijaksana, sabar, adil, bertanggungjawab dalam memimpin rumah tangga. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.”

Ini bukan bermakna, lelaki bebas melakukan kezaliman kepada wanita. Bahkan mereka menanggung amanah Allah yang akan dipersoal di akhirat kelak. Islam mengajar supaya adil dalam semua perkara. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

Begitu juga suami yang baik hendaklah bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan isteri dan anak seperti makanan dan pakaian. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Hakim bin Mu’awiyyah, beliau berkata bahawa ia pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” Mungkin pada masa kini suami isteri bekerja, tetapi ia tidak bermakna suami sudah terlepas tanggungjawab memberi nafkah. Namun, isteri walaupun pendapatannya besar, ia tetap tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Justeru, suami yang baik hendaklah memberi nafkah bersesuaian kemampuan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 34 bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Kepada saudari yang bertanya, sememangnya ada suami yang menzalimi isteri. Kerana itu, Islam menyuruh untuk memilih aspek salih sebagai keutamaan memilih bakal suami. Suami yang salih sekali-kali tidak akan menzalimi isterinya walaupun ia tidak menyukai isterinya dan kedua, mungkin saja suami yang tidak menyukai isteri disebabkan sikap isteri.

Seperti yang disebut oleh pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah, kadang-kadang isteri suka mencabar suami apabila bergaduh. Kedua, isteri tidak menjaga mulut sehingga terlepas perkataan yang menyebabkan hati suami sakit. Ketiga, isteri tidak malu iaitu tidak menjaga batas pergaulan dengan lelaki asing. Keempat, isteri tidak menjaga penampilan di hadapan suami tetapi bersolek berlebihan apabila keluar rumah. Kelima, isteri cemburu berlebih-lebihan dan sebagainya. Semua perkara ini perlulah dimuhasabah kembali dan dibaiki agar keadaan menjadi lebih baik. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s