Berbuka dengan sengaja termasuk golongan rugi

Posted: 19 July 2012 in Persoalan Agama
Tags: , , , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SEORANG teman saya tidak bangun sahur, ketika tengah hari dia kata tak larat hendak berpuasa lalu dia berbuka tanpa rasa bersalah. Bolehkah orang sepertinya berbuka. Soalan kedua, bolehkah mencium isteri ketika berpuasa.

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT memotivasi hamba-Nya untuk menjalankan ibadat puasa Ramadan sambil menjelaskan ketinggian dan keutamaannya. Sekalipun orang yang berpuasa itu memiliki dosa sebanyak buih di lautan, nescaya dia akan diampuni kerana ibadat baik yang penuh berkat. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Antara kelebihan yang lain iaitu orang yang berpuasa akan dimakbulkan doanya dan pembebasan daripada api neraka.

Imam Ahmad meriwayatkan hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap hari Allah membebaskan orang daripada api neraka pada Ramadan. Sesungguhnya setiap Muslim memiliki doa yang sekiranya dia memohon, akan dikabulkan untuknya.”

Orang yang sanggup berbuka sebelum waktunya tanpa ada sebarang keuzuran seperti sakit atau musafir, maka orang seperti itu adalah golongan yang rugi. Mungkin kerana jahil atau tidak beriman dengan kelebihan Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis iaitu: “Sesiapa yang berbuka puasa satu hari pada Ramadan dengan sengaja, maka puasa satu tahun tidak dapat membayarnya sekalipun dia mengerjakan.” Islam melarang berbuka dengan sengaja pada Ramadan sebelum waktunya.

Imam an-Nasa’i meriwayatkan hadis daripada Abu Umamah al-Bahili ra, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ketika tengah tidur aku didatangi dua lelaki. Kemudian kedua-dua mereka menarik lenganku dan membawaku ke gunung berbatu-batu (susah mendakinya) seraya berkata: Naiklah.

Aku berkata: Sesungguhnya aku tidak sanggup melakukannya. Kedua-dua mereka berkata: Kami akan memudahkan untukmu. Maka aku pun menaikinya hingga aku sampai di kegelapan gunung. Tiba-tiba ada suara pekikan yang sangat keras.

Aku bertanya: Suara apa itu? Mereka berkata: Itu adalah jeritan penghuni neraka. Seterusnya dia membawaku berjalan dan tiba-tiba aku sudah berada bersama orang-orang yang bergantungan pada urat besar di atas tumit mereka, mulut mereka koyak dan koyakan itu mengalir darah.

Baginda bercerita lagi: Kemudian aku bertanya: Siapakah mereka itu? Salah seorang menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum tiba waktunya”.

Untuk soalan kedua, sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah ra, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah mencium (isteri-isterinya) ketika Baginda berpuasa.

Hanya Baginda orang yang paling kuat menahan nafsunya berbanding sekalian kamu.” Perkara itu dimakruhkan bagi orang yang masih muda dan tidak bagi orang tua.

Sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash, beliau bercerita: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang pemuda datang kepada Baginda seraya berkata: Wahai Rasulullah, bolehkah aku mencium isteriku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa? Baginda SAW menjawab: Tidak.

Kemudian ada seorang tua datang seraya bertanya: Apakah aku boleh mencium isteriku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa? Baginda SAW menjawab: Boleh. Abdullah bercerita sedangkan sebahagian kami saling memandang.

Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang sudah tua itu boleh mengawal nafsunya.” Demikianlah, wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s