Mandi junub selepas imsak tidak jejas puasa

Posted: 19 July 2012 in Persoalan Agama
Tags: , , , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH hukumnya puasa bagi suami isteri yang gagal mandi junub sebelum waktu bersahur, iaitu sebelum masuk waktu imsak. Mereka hanya mandi junub selepas waktu imsak sama ada jam 6 atau 7 pagi dan meneruskan puasa seperti biasa.

BERSETUBUH dengan isteri pada Ramadan dibolehkan tetapi hanya khusus waktu malam. Waktu yang diharuskan itu bermula daripada terbenamnya matahari sehingga terbit fajar (waktu Subuh).

Pada awal permulaan Islam, bersetubuh pada malam hari Ramadan dibolehkan sebelum seseorang itu tidur. Jika sudah tidur, maka haram baginya menyetubuhi isterinya walaupun ia tersedar sebelum Subuh. Kemudian Allah SWT mempermudahkan hukum dan membenarkan persetubuhan pada bila-bila masa sebelah malam Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 187: “Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa (Ramadan) bercampur dengan isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak mampu menahan nafsumu. Kerana itu, Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepada kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang sudah ditetapkan Allah untukmu dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam.”

Al-Sa’di pula berkata: “Ketika puasa mula disyariatkan, haram bagi orang Islam untuk makan, minum atau melakukan persetubuhan pada sebelah malam selepas tidur. Tetapi itu menimbulkan kesulitan bagi mereka. Lalu Allah memudahkannya dan membenarkan mereka makan, minum atau melakukan persetubuhan pada bila-bila masa sebelah malam sama ada sesudah atau sebelum tidur. Mereka tidak mampu menahan nafsu.”

Pada ayat “Kerana itu Allah mengampuni kamu” bererti Dia menjadikan mudah bagi kamu mengelakkan diri daripada terjatuh ke lembah dosa. Ayat “Dan memberi maaf kepada kamu” bermaksud bagi apa yang terjadi sebelumnya. “Maka sekarang…” bererti selepas kemudahan ini diberikan Allah manakala “campurilah mereka..” bererti bersetubuh, mencium, menyentuh dan sebagainya.

Bagi ayat “dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu..” bererti apabila kamu bersetubuh dengan isterimu untuk mentaati Allah dan mencapai tujuan utama persetubuhan, iaitu untuk mendapat anak, mengawal maruah diri dan isteri serta memenuhi tujuan perkahwinan.

Dalam al-Ahkam al-Quran, Jilid 1, muka surat 265, al-Jassas berkata: “Bersetubuh makan dan minum dibenarkan pada sebelah malam bulan puasa (Ramadan) dari awal malam sehingga Subuh menjelma.”

Satu hadis riwayat al-Bukhari, daripada Al-Bara’ ada berkata: “Apabila puasa mula difardukan, mereka tidak mendekati isteri mereka langsung sepanjang bulan dan setengah orang tidak dapat menahan nafsu mereka maka Allah menurunkan wahyu dengan firman-Nya: Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepada kamu.”

Berbalik soalan saudara, mandi junub boleh saja dilakukan sebelum atau selepas Subuh. Yang penting, saudara dapat mengerjakan solat Subuh dalam keadaan suci (selesai mandi) sebelum berakhirnya waktu Subuh. Wallahua’alam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s