Pahala solat gugur jika amalan didorong rasa riak

Posted: 26 July 2012 in Persoalan Agama
Tags: , , , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin bertanya mengenai riak. Bagaimanakah kedudukan sembahyang orang yang melakukan sembahyang, kemudian dia menceritakan amalannya itu kepada orang lain. Adakah sembahyang itu perlu diqada atau tidak? Soalan kedua, sekiranya seseorang memulakan sembahyang dengan riak dan pada pertengahan sembahyang ia menyesal, adakah kena ulang sembahyang atau boleh diteruskan saja.

Sebenarnya untuk melakukan sesuatu amalan tanpa riak bukanlah suatu yang mudah kerana keikhlasan itu bagai seekor semut hitam berjalan di celah-celah batu hitam di kegelapan malam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Sekiranya seseorang yang melakukan amalan tanpa disertai riak, maka amalan inilah yang akan diterima oleh Allah SWT.

Berbalik kepada soalan saudara, saya mengambil pandangan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin iaitu apabila seseorang menetapkan niatnya untuk mengerjakan ibadat dengan penuh keikhlasan, tetapi tiba-tiba ia telah dihinggapi oleh penyakit riak, maka dalam perkara ini, kita kena melihat sama ada riak itu mengganggunya sebelum selesai solat atau sesudah selesai mengerjakannya.

Sekiranya timbul perasaan gembira dalam dirinya saja tanpa diperlihatkan perasaan itu kepada orang lain, maka ia tidaklah merosakkan amalannya. Ini kerana amalan itu sudah pun selesai atas dasar keikhlasan yang bersih daripada riak. Kecuali jika sesudah itu timbul dalam hati untuk memperlihatkan amalan itu kepada orang lain. Lalu ia menceritakan kepada khalayak dan mempamerkannya. Maka sikap seperti ini adalah amat mencemaskan. Ini berdasarkan beberapa hadis serta beberapa ucapan orang yang utama menunjukkan bahawa perkara ini boleh menghilangkan pahala amalan.

Sekiranya riak itu timbul dalam dirinya ketika amalan belum selesai dikerjakan, padahal ia telah menetapkan niatnya untuk mengerjakan amalan itu atas rasa keikhlasan.

Sekiranya yang timbul itu hanya kegembiraan dalam diri saja, maka tiadalah ia merosakkan amalan itu tetapi sekiranya ia melakukan suatu amalan atas dorongan riak, lalu ia menyelesaikan amalan berkenaan dengan dorongan riak, maka terhapuslah pahala amalan itu. Sebab wajib atasnya menunaikan amalan yang penuh ikhlas (khalis) kerana Allah semata-mata.

Sebagai contoh, seseorang yang memulakan solatnya dengan tujuan riak, sekiranya ia meneruskan solatnya itu hingga selesai dalam keadaan yang sama, maka ulama sepakat mengatakan bahawa ia wajib menggantikan (qada) solat itu. Sekiranya ia menyesali dirinya sedangkan ia masih dalam solat itu, lalu ia beristighfar dan bertaubat sebelum selesai solat, maka menurut qaul yang rajin (pendapat yang kuat), solat itu tidak dikira sah disebabkan ada tujuan riak.

Dalam hal ini hendaklah ia mengulangi solat itu semula kerana pendorong untuk melakukan solat sejak dari mulanya ialah riak dan bukan kerana mematuhi perintah Allah Taala. Apabila solat itu tidak dikira betul pada mulanya, maka tidak dikira sah apa yang dibuat sesudah itu. Demikianlah, wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s