Tuhan anugerahkan manusia kemampuan pilih buruk, baik

Posted: 26 July 2012 in Persoalan Agama
Tags: , , , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ada seorang anak bersekolah agama berumur lapan tahun. Anak bertanya mengenai Rukun Iman. Sukar untuk saya memberi kefahaman kepadanya mengenai beriman kepada takdir kerana saya pun kurang jelas perkara itu. Harap ustaz dapat jelaskan Rukun Islam kelima beriman kepada qada dan qadar.

 

PERKATAAN takdir diambil daripada kata qaddara, ertinya memberi kadar atau ukuran. Jika saudara berkata: “Allah mentakdirkan” bererti Allah memberikan kadar atau ukuran atau batas tertentu dalam diri, sifat dan kemampuan makhluk-Nya.

Segala sesuatu, kecil atau besar sudah ditetapkan Allah sebagai takdir baginya. Justeru, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Allah) yang menciptakan segala sesuatu lalu Dia menetapkan atasnya qadr (ketetapan) dengan sesempurnanya.” (Surah al-Furqan, ayat 2)

Begitu juga firman Allah bermaksud: “Lalu matahari beredar di tempat peredarannya, demikian itulah takdir (ukuran) yang ditentukan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yasin, ayat 38)

Peristiwa yang berlaku di alam jagat ini dari sudut kejadiannya dalam kadar (ukuran) tertentu, pada tempat dan waktu tertentu. Itulah yang dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu tanpa takdir termasuklah manusia.

Peristiwa itu berada dalam pengetahuan dan ketentuan Tuhan. Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran diberikan Allah kepadanya.

Contohnya, manusia makhluk yang tidak boleh terbang. Ini antara takdir (ukuran) batas kemampuan dianugerahkan Allah kepadanya. Dia tidak mampu melampauinya kecuali jika menggunakan akal untuk menciptakan suatu alat. Namun, akalnya juga mempunyai ukuran (batas) yang tidak mampu dilampaui.

Manusia berada di bawah hukum Allah sehingga segala sesuatu kita lakukan tidak akan terlepas daripada hukum yang sudah mempunyai kadar dan ukuran tertentu. Hanya kerana hukum itu cukup banyak dan kita diberi kemampuan memilih.

Oleh sebab itu kita dapat memilih yang mana antara takdir (ukuran) ditetapkan Allah SWT sesuai dengan kita dan pilihan adalah hak kita.

Di Syam (kawasan meliputi Syria, Palestin dan sekitarnya) pernah berlaku wabak. Umar al-Khatab membatalkan hasratnya berkunjung ke sana. Seseorang datang menghadap dan bertanya: “Apakah tuan lari daripada takdir Tuhan? Umar menjawab: Saya lari daripada takdir Tuhan ke takdir-Nya yang lain.”

Penyakit boleh berjangkit adalah berdasarkan hukum yang sudah ditetapkan-Nya. Apabila seseorang tidak menghindar daripadanya, maka dia akan menerima akibatnya tetapi apabila ia menghindar dan hilang daripada segala bahaya, maka itu pun takdir.

Bukankah Tuhan sudah menganugerahkan manusia kemampuan untuk memilih? Begitu juga syurga dan neraka adalah akibat daripada pilihan manusia sendiri.

Allah tegaskan dalam firman yang bermaksud: “Kami telah memberikan petunjuk kepadanya (manusia) dua jalan (baik dan buruk).” (Surah al-Balad, ayat 10)

Firman-Nya lagi: “Katakanlah, kebenaran bersumber daripada Tuhanmu, maka sesiapa yang ingin (beriman), silalah beriman dan sesiapa yang ingin (kufur), silakan kufur.” (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s