Pintu taubat terbuka sepanjang hayat

Posted: 24 April 2013 in Persoalan Agama
Tags: , , , , , ,

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Bagaimana caranya saya hendak menghapuskan dosa kerana saya banyak melakukan perkara maksiat. Saya rasa hidup tidak tenteram dan gelisah. Tidak perlu saya sebut dosa saya. Saya lihat rakan saya yang jauh daripada agama walaupun mereka banyak harta tetapi mereka tidak bahagia. Adakah saya perlu berdoa untuk meminta ampun setiap dosa saya lakukan dan masih adakah kesempatan untuk saya bertaubat? Mohon bimbingan ustaz.

Taubat wajib daripada segala maksiat dan ia memiliki empat syarat yang perlu dipenuhi seperti disebut Imam an-Nawawi dan ulama. Pertama, hendaklah ia meninggalkan maksiat. Kedua, menyesal kerana pernah melakukannya. Ketiga, hendaklah dia berazam iaitu berniat untuk meninggalkannya dan tidak melakukannya selama-lamanya dan keempat, membebaskan hak milik orang lain sekiranya maksiat itu berhubung dengan harta manusia atau lainnya serta mengembalikan kepada pemiliknya.

Jika dosa yang dilakukan dalam bentuk ghibah (mengumpat) dan lainnya, hendaklah dia meminta maaf dengan orang yang dicela. Jika dia mengambil harta seseorang, hendaklah dia mengembalikannya sekiranya dia mengetahui tempat orang itu. Sekiranya dia tidak mengetahui, maka hendaklah dia sedekahkan kepada fakir miskin atas nama pemiliknya.

Wajib bertaubat

Wajib hukumnya bertaubat atas segala dosa. Jika seseorang bertaubat atas sebahagian dosa yang dia taubat, maka sah taubatnya atas dosa yang dia taubat dan tetap baginya dosa yang dia belum taubat. Dalil wajib taubat sangat banyak. Antaranya firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang beriman supaya kamu berjaya.”

Pintu taubat terbuka sepanjang umur seperti diriwayatkan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT membuka tangan-Nya pada malam hari agar orang yang berbuat buruk pada siang hari dapat bertaubat, dan ia membuka tangan-Nya pada siang hari agar orang yang berbuat buruk pada malam hari dapat bertaubat sehingga matahari terbit dari barat.”

Ibn Majah dan at-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Umar ra, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hamba selama dia belum mengalami sakaratul maut atau sebelum rohnya sampai di kerongkong.”

Dua keadaan taubat tak diterima

Justeru, taubat tidak diterima dalam dua keadaan iaitu pertama, ketika nazak dan kedua, ketika berubah arah terbit matahari. Sesiapa yang melihat betul-betul akibat perbuatan dosa, ia akan tahu bahawa tidak ada dosa yang beroleh kebaikan.

Orang yang terus-menerus berzina dan melakukan maksiat lainnya, maka dia akan hidup dalam keadaan melarat di dunia. Mereka tidak ubah seperti manusia yang masuk dalam kegelapan. Hati manusia lain akan berpaling menjauhi darinya.

Jika mereka mempunyai harta yang banyak, maka harta itu pastinya bukan daripada sumber yang halal. Jika mereka ditimpa kesukaran, mereka mula mengecam takdir seolah-oleh takdir penyebab penderitaannya. Mereka sibuk dengan kehinaan dan mereka sama sekali tidak mengenal akhirat.

Namun sekiranya anda memerhatikan orang yang sabar menghadapi godaan nafsu dan meninggalkan perkara tidak halal, ada dalam kalangan mereka yang dianugerahi kesenangan di dunia, makanan lazat, tempat tinggal selesa, kehidupan nyaman dan kedudukan terhormat. Apabila mereka ditimpa kesukaran dan kesempitan, maka sabarlah yang melapangkan hidupnya dan rasa reda yang menyejukkan hatinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s