Mendidik anak cinta al-Quran

Posted: 19 November 2013 in Persoalan Agama
Tags: , , , ,

Oleh : Ustaz Zahazan Mohamed

Apabila melihat anak orang lain menghafaz al-Quran, terasa sejuk jiwa memandang. Teringin rasanya untuk mendapat anak yang menghafaz al-Quran. Masalahnya, anak saya susah untuk mendengar cakap ibu bapa, asyik suka bermain serta liat untuk membaca al-Quran. Bagaimana hendak mendidik anak untuk cinta kepada al-Quran dan menghafaz al-Quran.

Ibu bapa hendaklah menyedari bahawa cinta mereka kepada anak adalah berdasarkan fitrah (naluri), namun bukan bererti mereka akan dicintai oleh anak berdasarkan fitrah pula. Umumnya perasaan itu adalah tindak balas anak terhadap sikap ibu bapa dalam berinteraksi. Oleh itu, hasilnya sangat bergantung pada kesan perta-ma anak terhadap kedua ibu bapanya.

Mendidik anak supaya cinta kepada al-Quran, saudara terlebih dulu perlu tanamkan rasa cinta anak kepada ibu bapanya. Jika saudara mencintai al-Quran, maka anak akan cinta terhadap apa yang anda cintai.

Berikut ada beberapa cara yang boleh mendorong anak mencintai ibu bapanya. Pertama, usahakan supaya anda selalu dekat kepada Allah SWT. Berdoalah kebaikan untuk anak anda supaya Allah SWT mempersatukan hati anda dengan anak anda.

Kemampuan akal

Kedua, layan anak sesuai dengan tahap kemampuannya. Peganglah prinsip `perlakukan orang berdasarkan kemampuan akalnya’ sehingga anda boleh menyelami hatinya dengan mudah.

Berinteraksi dengan anak berdasarkan konsep perbezaan individu supaya tidak membebani anak di luar kemampuannya.

Ketiga, berilah bimbingan dan petunjuk dengan kaedah yang berbeza-beza supaya ia tidak merasa jemu ketika belajar.

Keempat, fahami sifat kejiwaan dan kepandaian anak supaya anda boleh berbicara dalam bahasa yang sesuai dengan keperibadiannya masing-masing.

Kelima, berusahalah menjadi kawan bagi anak anda dan berinteraksi dengan mereka dalam konteks pendidikan, bukan sebagai pahlawan yang memberi makan, tempat tinggal serta pakaian dengan anggapan mereka akan patuh kepada anda.

Keenam, tanamkan rasa keyakinan diri pada anak supaya memiliki jiwa yang lurus sehingga mereka mampu untuk selalu menyintai, bekerja dan menempuh masa depan dengan penuh semangat.

Ketujuh, berhati-hatilah dengan sekatan yang menghalangi kebahagiaan serta ketenangan anda bersama anak-anak.

Gunakanlah semboyan, `mencegah lebih baik daripada mengubati’. Semampu mungkin hindari faktor yang boleh menarik berlakunya pelbagai permasalahan pada anak dan lindungilah mereka daripada keburukannya.

Jadi teladan

Akhirnya, usahakan supaya anak merasakan anda menyintai mereka. Ungkapkan rasa sayang itu melalui tindakan dan kata-kata. Ucapkan lebih daripada sekali dalam sehari dengan diiringi tindakan nyata yang membuktikan kasih sayang anda.

Sekali lagi diingatkan, seorang pendidik hendaklah boleh menjadi teladan utama bagi anak didiknya. Jika ia ingin menanamkan rasa cinta al-Quran di hati mereka, dia terlebih dulu perlu menunjukkan kecintaannya kepada al-Quran.

Seterusnya, beri keyakinan kepada anak bahawa sesiapa yang memelihara al-Quran, Allah SWT akan memelihara mereka dan sesiapa yang berpegang teguh kepada al-Quran, Allah akan menolongnya kerana kitab ini dapat membentuk peribadi mulia.

Bagaimanapun, jika tingkah laku ibu bapa atau pendidik berlawanan dengan apa yang diperintahkan kepada anak-anak, akibatnya mereka akan membenci semua yang diajarkannya termasuk menghafal al-Quran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s