Islam larang pukul isteri

Posted: 27 August 2014 in Persoalan Agama
Tags: , , , ,

Oleh: Zahazan Mohamed

 

Benarkah Islam membenarkan suami memukul isterinya kerana suami saya suka memukul saya apabila marah.

Islam tidak menerima kehidupan rumah tangga ditegakkan atas penghinaan terhadap wanita atau dilandaskan sikap buruk kepadanya, baik dengan perkataan mahupun perbuatan. Oleh itu, dengan alasan apa pun suami tidak boleh mencela dan memaki hamun isteri, lebih-lebih lagi di depan anak.

Jika terhadap binatang manusia dilarang melakukan kekasaran, apa lagi terhadap manusia terutama isteri yang juga pendidik dan pemelihara rumah tangga, teman hidup, ibu serta manusia paling dekat suami.

Rasulullah SAW mengecam seorang wanita yang melaknat untanya, kemudian baginda menyuruh supaya unta itu dibiarkan dan tidak digunakan oleh sesiapa pun, bahkan pemiliknya dilarang menggunakannya.

Semua itu sebagai hukuman kerana wanita berkenaan memaki dan melaknat untanya. Maka bagaimana pula apabila melaknat dan mencaci maki orang Muslim. Apa lagi masalah memukul isteri.

Tidak dibolehkan sama sekali memukul wanita kecuali dalam keadaan darurat iaitu ketika nusyuz, derhaka kepada suami dan melanggar perintah suami yang menjadi haknya dalam kehidupan rumah tangga.

Keadaan darurat perlu diukur menurut ukurannya iaitu apabila cara lain seperti memberi nasihat dan pisah tempat tidur sudah tidak berkesan lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Pada hujung ayat terdapat ancaman terhadap orang yang melampaui batas terhadap wanita (isteri) yang taat bahawa Allah SWT lebih tinggi dan lebih besar dari mereka. Meskipun di sana terdapat rukhsah (keringanan) pada masa darurat, namun perlu diingat Nabi SAW bersabda: “Orang yang baik di antara kamu tidak akan memukul (isterinya).”

Maka jelaslah orang yang baik tidak akan memukul isterinya, bahkan mereka akan mempergaulinya dengan lemah lembut, kasih sayang dan akhlak yang bagus.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik di antara kamu terhadap isteriku.”

Nabi SAW tidak pernah memukul wanita, bahkan tidak pernah memukul pembantunya dan binatang selama hidupnya. Baginda memberi sindiran tajam terhadap lelaki yang memukul isterinya: “Bagaimana ia memukul isterinya pada pagi hari, lalu pada malam harinya ia menggaulinya?”

Apabila suami tidak dapat mengawal marah sehingga melayangkan tangan kepada isterinya, maka ia hendaklah segera berdamai dengan isterinya dan menyenangkan hatinya. Ini akhlak mulia yang patut dimiliki untuk mengendalikan rumah tangga muslimah.

Memukul isteri atau mencaci maki di depan anak, ia tindakan tidak sesuai dengan peribadi seorang Muslim yang mengetahui akan keunggulan dan keagungan agamanya. Sebagai pemimpin (rumah tangga) mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap kepimpinannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang baik di antara kamu tidak akan memukul isterinya.” Mudah faham, orang yang memukul isterinya adalah seburuk-buruk dan serendah-rendah manusia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s