Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

 

Baru-baru ini saya mendapat cahaya mata dan bercadang untuk membuat aqiqah anak pada hari raya korban. Di samping itu, saya juga mahu membuat korban. Boleh ustaz beri penjelasan berkenaan aqiqah dan korban supaya saya lebih faham. Seterusnya bolehkah daging aqiqah dimakan oleh tuan yang membuat aqiqah. Bolehkah mengucapkan Alhamdulillah sesudah bersin ketika sedang melakukan solat. Terima kasih ustaz.

Secara ringkasnya, berkorban dengan menyembelih binatang ternak seperti lembu, kambing atau unta hukumnya sunat muakkad (ertinya sangat dituntut). Umur seekor kambing iaitu setahun lebih (berganti gigi), bagi lembu berumur dua tahun lebih (termasuk kerbau), sedangkan bagi unta pula lima tahun lebih. Seekor unta atau lembu cukup untuk korban sebanyak tujuh orang sedangkan kambing untuk seorang saja.

Antara syarat binatang yang dijadikan korban, pertama, tidak terpotong (akibat cacat) baik telinganya mahupun ekornya. Kedua, tidak terlalu kurus, tidak terpotong tanduknya, tidak buta dan tidak tempang.

Sedekah sembelihan korban

Waktu penyembelihan korban iaitu sesudah solat Aidiladha hingga akhir hari Tasyriq (13 Zulhijjah). Disunatkan waktu menyembelihnya dengan membaca Bismillah, selawat ke atas nabi, menghadap ke kiblat, bertakbir dan berdoa semoga korban diterima oleh Allah SWT.

Orang yang berkorban dibenarkan makan daging korbannya tetapi tidak dibenarkan jika keadaannya sebagai korban nazar. Daging korban tidak boleh dijual tetapi hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin.

Manakala aqiqah hukumnya sunat iaitu menyembelih binatang pada waktu anak berumur tujuh hari. Buat anak lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Namun, menurut Imam Malik, aqiqah itu cukup dengan seekor kambing baik lelaki mahupun perempuan berdasarkan alasan hadis. Daging aqiqah yang hendak disedekahkan kepada fakir miskin disunatkan dimasak terlebih dulu. Selain disedekah daging aqiqah boleh dimakan tuan dan ahli keluarga.

Mazhab al-Shafie dijelaskan oleh al-Shirazi: “Dan disunatkan memasak dagingnya (aqiqah) masakan manis supaya mengambil tafa’ul (mudah-mudahan) supaya akhlaknya juga manis.” (al-Muhazzab bi sharh al-Nawawi)

Masak dengan manis

Pandangan memasak dengan rasa manis ini dikatakan lemah kerana tidak ada dalil yang menyuruh atau menggalakkan masak dengan rasa manis.

Bagi pertanyaan ketiga, seorang sahabat bernama Rifa’at bin Rafi’ menceritakan, dia solat berjemaah bersama Nabi SAW lalu dia bersin dan mengucapkan “Alhamdulillah hamdan kathiran thayyiban mubarakan fihi kama yuhibbu wa yardha.”

Sesudah Nabi SAW selesai solat, Baginda bertanya: “Siapa yang bercakap ketika solat? Tidak ada seorang pun yang menjawab sehingga Nabi SAW bertanya tiga kali. Ketika itu barulah Rafi’ mengaku. Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tiga puluh malaikat berlumba-lumba untuk menghantarnya (ucapan itu) ke langit.”

Dengan demikian mengucapkan Alhamdulillah dalam solat selepas bersin tidak membatalkan solat.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Apakah hukum seseorang yang suka menangguh untuk qada puasa sehingga hampir kepada Ramadan berikutnya. Mohon pencerahan.

Dibandingkan dengan bulan lain, pada Syaaban Nabi SAW lebih banyak berpuasa sunat. Aisyah meriwayatkan Nabi SAW tidak pernah melakukan puasa sebulan penuh selain Ramadan.

Rasulullah SAW biasa berpuasa setiap bulan. Aisyah berkata: “Rasulullah SAW pernah berpuasa hingga kami mengira Baginda ini tidak pernah berbuka, dan pernah juga Baginda tidak berpuasa (sunat) hingga kami mengira Baginda tidak pernah berpuasa. Dan kadang-kadang Baginda melakukan puasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang berpuasa selama tiga hari setiap bulan, khususnya pada hari putih (bertarikh 13, 14, 15) setiap bulan Qamariyah, dan kadang-kadang Baginda selang sehari iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka seperti yang dilakukan Nabi Daud.”

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud iaitu Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi SAW juga sering berpuasa pada Syaaban seakan-akan perkara itu persiapan menghadapi Ramadan. Adapun berpuasa selama beberapa hari tertentu tidak terdapat riwayatnya sama sekali.

Seseorang Muslim baik lelaki atau wanita yang tidak dapat menjalankan puasa Ramadan selama beberapa hari kerana sakit, haid atau uzur, wajib mengqada semuanya jika ada kesempatan pada bulan dalam setahun sebelum datangnya Ramadan.

Segera lepas tanggungan

Oleh itu, dalam syarak ada kelapangan untuk mengqada puasa Ramadan yang tidak dapat dikerjakannya itu. Ia boleh qada puasa pada Syawal atau bulan sesudah itu.

Allah SWT berfirman: “Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Disebabkan manusia tidak mengetahui ajalnya maka bersegeralah mengqada puasa adalah sikap berhati-hati bagi dirinya. Di samping itu, kehidupan akhiratnya lebih terjamin dengan bersegera melepaskan tanggungannya.

Jika dia menangguhkannya kerana sesuatu uzur, contohnya cuaca sangat panas, keadaannya lemah atau sangat sibuk sehingga tidak dapat mengqada puasanya, maka ia boleh menqadanya hingga menjelang Ramadan berikutnya.

Apabila datang Syaaban sedangkan dia belum dapat mengqada puasanya maka hendaklah ia mengqadanya pada Syaaban kerana ia adalah peluang terakhir. Mengqada puasa pada Syaaban pernah dilakukan oleh Ummul Mukminin Aisyah.

Meskipun ada kesamaran bagi sebahagian orang mengenai masalah ini, tetapi kesamaran mereka tidak beralasan sama sekali daripada syarak. Kerana semua bulan adalah kesempatan untuk mengqada puasa Ramadan.

Contoh seseorang yang sakit pada Ramadan hingga Ramadan berikutnya. Dalam tempoh itu ia tidak dapat mengqadanya kecuali dengan sangat sukar dan sengsara. Qada puasa baginya boleh ditunda hingga sesudah Ramadan berikutnya apabila kesihatannya telah pulih kembali.

Allah SWT mengakhiri ayat puasa dengan firman-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

 

 

Oleh: Ustaz Muhammad Asyraf

Apabila menjelang 1 Syawal umat Islam akan bergembira menyambut Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kegembiraan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT.

Mereka telah menghadapi siang Ramadan menahan lapar, dahaga dan rangsangan nafsu syahwat. Pada malamnya mereka akan tunduk sujud kepada Allah SWT melaksanakan `qiam Ramadan’ iaitu solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid.

Maka sudah tentu mereka yang beriman dan beramal soleh ini layak untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Berlalunya Ramadan tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Pelaksanaan ibadah bukan pada Ramadan tetapi bulan lain juga kerana kehidupan manusia itu keseluruhannya adalah ibadah kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan puasa. Walaupun puasa selama sebulan Ramadan sudah tamat namun kita masih lagi diberi peluang berpuasa iaitu dengan melakukan puasa sunat antaranya puasa sunat enam hari Syawal.

Janji pengampunan

Direkodkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.”

Nabi SAW menjelaskan puasa enam hari pada Syawal pahalanya sama seperti puasa setahun secara penuh. Namun syaratnya, setelah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.

Jika puasa Ramadan, Nabi menjanjikan pengampunan dosa yang lampau maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti kita berpuasa setahun.

Berkenaan tatacara berpuasa enam hari Syawal, ada beberapa pandangan ulama. Kebanyakan ulama mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.

Maksudnya, lebih afdal seseorang itu berpuasa enam hari secara berturutturut bermula pada 2 Syawal. Pandangan ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin.

Dinukilkan daripada Ma’mar dan `Abd al-Razzak, seseorang itu tidak boleh berpuasa secara serta-merta dan berturut-turut selepas Aidilfitri kerana harihari permulaan dalam bulan Syawal adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum setelah sebulan menunaikan ibadah puasa Ramadan.

Menurut pandangan sebahagian ulama lain pula antaranya Waqi’ bin al-Jarrah iaitu guru kepada Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad bin Hanbal, puasa sunat enam Syawal yang dilakukan secara berturutturut mahupun berselang-selang adalah sama dari segi kelebihannya.

Oleh itu, seseorang yang telah berpuasa Ramadan mempunyai pilihan untuk terus berpuasa serta-merta selepas Aidilfitri secara berturut-turut atau berselang-selang selagi mana dia berada dalam Syawal.

Setelah diteliti ketiga-tiga pandangan ulama, maka dapatlah disimpulkan bahawa puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan serta-merta selepas sambutan Aidilfitri mahupun melakukannya selama enam hari pada mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Namun lebih elok jika puasa enam hari itu dipercepatkan jika tiada sebarang halangan. Jika kita tidak mampu berpuasa serta-merta, maka bolehlah kita memilih untuk berpuasa enam hari sepanjang Syawal.

Melihat suasana Aidilfitri kebanyakan masyarakat Malaysia yang akan mengadakan rumah terbuka, budaya kunjung- mengunjung ini mengambil masa berhari-hari malah ada mengadakan rumah terbuka sehingga penghujung Syawal.

Oleh itu, sesiapa yang dijemput hadir ke majlis rumah terbuka maka tidak perlulah berpuasa kerana puasa enam boleh dilakukan pada hari lain. Begitulah juga mereka yang menjemput tetamu datang ke rumah, maka seelok-eloknya mereka menjamu selera bersama-sama tetamu yang hadir.

Namun jika mereka masih mahu berpuasa maka tidaklah salah tetapi perlulah menjelaskan dengan baik kepada tuan rumah mahupun tetamu yang datang.

Utama qada puasa

Berkenaan mana lebih penting, puasa ganti atau puasa sunat, seelok-eloknya kita mempercepatkan qada dengan menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan.

Ulama membahaskan keutamaan iaitu adakah lebih perlu menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat. Majoriti ulama menyatakan, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Sebahagian ulama pula berpendapat, seseorang yang wajib menggantikan puasa seperti wanita didatangi haid perlulah mendahulukan puasa wajib iaitu mengqadakan puasa ditinggalkan sebelum melaksanakan puasa sunat Syawal.

Pada pandangan mereka, urusan wajib perlulah disegerakan dan tidak boleh didahulukan dengan urusan lain walaupun urusan berbentuk sunat.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, sebahagian ulama membenarkan mendahulukan puasa enam hari Syawal ke atas puasa ganti. Namun pengecualian itu hanya untuk puasa enam hari Syawal saja.

Perkara ini juga untuk memudahkan wanita turut sama mendapat kelebihan menunaikan puasa enam Syawal. Jika mereka mendahulukan puasa ganti kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan puasa sunat Syawal.

Pelengkap kekurangan Ramadan

ANTARA keistimewaan puasa enam Syawal adalah:

Puasanya sama seperti ganjaran berpuasa selama setahun.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim telah disebutkan Nabi SAW menjelaskan sesiapa yang berpuasa Ramadan dan menambah enam hari pada bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun. Imam Nawawi menyatakan, setiap kebaikan akan digandakan oleh Allah sebanyak sepuluh kali ganda.

Tambah beliau lagi, barang siapa melengkapkan Ramadan maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa sepanjang 10 bulan. Puasa enam hari Syawal digandakan sepuluh bersamaan 60 hari dan bersamaan dua bulan. Oleh itu, puasa Ramadan ditambah enam hari bulan Syawal sama pahalanya seperti puasa setahun.

Melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa pada Ramadan.

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyatakan, puasa enam hari Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat ketika mana seseorang itu melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Beliau mengkiaskan dengan kelebihan solat sunat rawatib sebelum mahupun selepas solat fardu yang menampung kekurangan terdapat padanya.

Supaya manusia tidak lupa menunaikan puasa sunat lain.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, manusia akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan seseorang muslim itu terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut Aidilfitri namun dengan adanya puasa sunat enam hari Syawal sekurang-kurangnya memberikannya peringatan dan motivasi untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan akan datang.

 

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Adakah isteri wajib melayan suami seperti memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah dan sebagainya sedangkan saya juga bekerja. Baru-baru ini, kawan-kawan suami saya datang ke rumah, tetapi saya tidak dapat menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang disebabkan saya demam. Terpaksalah suami saya menyediakan semuanya dan ini membuatkan saya rasa bersalah. Adakah saya dikira derhaka kepada suami.

Menurut pendapat masyhur kalangan empat mazhab, seorang isteri tidak diwajibkan melayani suaminya iaitu menyediakan makan, mencuci pakaian dan seumpamanya. Sean-dainya isteri melakukannya, ia hanyalah sebagai kesopanan atau akhlak mulia terhadap suami. Bukan kerana kewajipannya. Namun, dalam menentukan -batasnya, be-berapa mazhab berselisih pendapat.

Bahagi tugas rumah tangga

Antaranya, Mazhab Hanafi mengatakan layanan wajib dilakukan isteri adalah dalam bentuk galakan agama bukan ketentuan hukum kerana Nabi SAW pernah membahagi tugas rumah tangga antara Ali dan Fatimah. Fatimah dianjurkan mengerjakan pekerjaan dalam rumah dan Ali melaksanakan pekerjaan di luar rumah.

Ada juga yang berpandangan seperti Mazhab Maliki bahawa tidak ada kewajipan melayan suami bagi seorang isteri yang memiliki kemampuan (pandai) dan kemuliaan (terpandang). Tetapi dibolehkan bagi selainnya seperti yang tidak memiliki kemampuan dan kemuliaan. Namun yang jelas, empat mazhab tetap sepakat isteri tidak diwajibkan melayani tetamu suaminya. Oleh itu, jika suami menuntut isterinya atas masalah ini ke pengadilan syariah, maka tetap isteri tidak boleh dipaksa (tidak diwajibkan) melayani suaminya. Dengan demikian jika melayani suami saja tidak diwajibkan, begitu pula dengan memberi jamuan kepada tetamu suaminya. Apalagi ketika ia sedang sakit tentu tidak diwajibkan juga.

Namun, mazhab atau pendapat yang kita anggap lebih sesuai adalah pendapat menyatakan isteri diwajibkan melaksanakan pekerjaan di rumah hanyalah sebagai wujud kesopanan atau akhlak dan untuk menjalin hubungan baik dengan suami seperti diperintahkan oleh Allah. Juga sebagai wujud keadilan dengan adanya pembahagian tugas antara suami dan isteri. Allah SWT berfirman: “Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isteri-isteri.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Maka, sangatlah adil kalau suami bekerja, memeras keringat untuk menanggung kehidupan keluarganya. Sedangkan isteri bekerja di rumah melayani kepentingan keluarga. Hal ini boleh dilihat pada diri Fatimah az-Zahra Puteri Rasulullah SAW yang tetap bekerja di rumahnya dengan membersihkan rumah, memasak serta membuat roti.

Ringankan beban

Jika isteri bekerja di luar rumah (mencari nafkah), maka sudah seharusnya suaminya turut membantu menyelesaikan pekerjaan di rumah. Apalagi jika mereka mempunyai anak yang masih kecil. Oleh itu, sebaiknya suami tidak memberatkan isterinya dengan kedatangan tetamunya terutama ketika isteri sedang sakit. Ajaran Islam pun meringankan beban setiap orang yang dilanda sakit daripada pelbagai kewajipan. Orang yang sakit dibolehkan meninggalkan jihad. Allah SWT berfirman: “Tidak ada dosa atas orang yang buta, atas orang yang tempang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berjihad (berperang).” (Surah al-Fath, ayat 17)

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya mempunyai seorang bapa saudara yang terlantar di hospital sejak beberapa minggu. Menurut doktor, harapannya untuk sembuh agak tipis. Apa yang patut saya dan keluarga lakukan apabila menjenguk beliau yang menderita penyakit berat?

Digalakkan bagi keluarga pesakit, teman dan orang yang menjenguknya daripada kalangan orang baik-baik untuk mengingatkan pesakit supaya segera bertaubat kepada Allah Taala, menyesali kekurangannya dalam melaksanakan ajaran Allah SWT dan bertekad untuk mentaati Allah SWT.

Beliau juga perlu membersihkan diri daripada menganiaya hamba Allah dan mengembalikan hak mereka sekalipun kecil kerana hak Allah itu didasarkan pada toleransi manakala hak hamba didasarkan pada kesungguhan.

Selain itu, taubat dituntut daripada seluruh orang mukmin seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang beriman supaya kamu beruntung”. (Surah an-Nur, ayat 31)

Taubat bagi orang sakit lebih wajib lagi hukumnya di samping ia lebih memerlukannya kerana memang besar keuntungannya. Sedangkan bagi mereka yang mengabaikannya akan mendapat kerugian amat besar. Orang yang berbahagia adalah orang yang segera bertaubat sebelum habis waktunya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang”. (Surah an-Nisa’, ayat 18)

Membuat wasiat

Di samping itu, kita ingatkan kepada pesakit supaya berwasiat jika ia belum berwasiat. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada hak seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang selayaknya diwasiatkan sesudah bermalam selama dua malam melainkan hendaklah wasiatnya tertulis di sisinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila pesakit ditakdirkan Allah sembuh daripada sakitnya, maka sebaiknya ia dinasihatkan dan diingatkan supaya menunaikan apa dijanjikannya kepada Allah ketika dia sakit sebagai tanda syukur kepada Allah serta untuk memenuhi janjinya.

Sudah sepatutnya, pesakit menjaga perkara itu. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan penuhilah janji sesungguhnya janji itu pasti diminta dipertanggungjawabkannya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)

Allah juga memuji ahli kebajikan dan ahli takwa dengan firman-Nya: “Dan orang yang menepati janjinya apabila mereka berjanji”. (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Ulama berkata: “Sepatutnya pesakit mempunyai keinginan untuk memperbaiki akhlaknya, menjauhi pertikaian dan pertentangan mengenai urusan dunia, berasakan waktu ini adalah masa terakhirnya di ladang amal sehingga ia perlu mengakhirinya dengan kebajikan. Hendaklah ia meminta kelapangan dan maaf kepada isterinya, anak-anaknya, keluarganya, pembantunya, tetangganya, temannya dan semua orang yang punya hubungan muamalah, pergaulan, persahabatan dan sebagainya serta meminta keredaan mereka sedapat mungkin. Selain itu hendaklah ia menyibukkan dirinya dengan membaca al-Quran, zikir, kisah orang soleh dan keadaan mereka ketika menghadapi kematian. Hendaklah ia memelihara solatnya dan mengikuti kegiatan keagamaan lainnya. Janganlah ia menghiraukan perkataan orang yang mencela atas apa yang ia lakukan sebab ini ujian baginya. Orang mencelanya itu adalah teman yang tidak baik.

Di samping itu, hendaklah ia berpesan kepada keluarganya supaya bersabar jika ia menghadap-Nya dan jangan meratapinya kerana meratap termasuk perbuatan jahiliah demikian juga jangan terlalu banyak menangis. Hendaklah mereka bersungguh-sungguh mendoakannya kerana doa orang yang hidup itu berguna bagi orang yang mati seperti disebut Imam an-Nawawi dalam kitab Majmu’.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya ada kemusykilan mengenai wuduk. Apakah hukumnya seseorang yang sedang berwuduk, lalu dia berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, sedangkan ketika itu dia sedang berpuasa. Adakah puasanya sah. Jika bersahur dan masuk waktu imsak, adakah kita masih boleh makan atau dikehendaki berhenti.

Berkumur dan beristinsyaq (memasukkan air dalam hidung) ketika berwuduk ada yang mengatakan sunat seperti mazhab tiga imam iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie. Ada juga yang berpendapat fardu seperti mazhab Imam Ahmad yang menganggapnya sebahagian daripada membasuh muka.

Apakah perkara ini sunat atau wajib, maka sebaiknya berkumur dan beristinsyaq dalam berwuduk jangan ditinggalkan sama ada ketika berpuasa atau tidak. Hanya pada waktu berpuasa janganlah berlebihan melakukannya.

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Apabila engkau beristinsyaq, maka bersungguh-sungguhlah kecuali jika engkau sedang berpuasa.” (Riwayat Syafi’i, Ahmad, imam yang empat dan Baihaqi)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitab fatwanya, apabila orang yang berpuasa berkumur atau beristinsyaq ketika berwuduk, lalu airnya masuk ke tenggoroknya tanpa sengaja dan berlebih-lebihan maka puasanya sah.

Perkara ini sama saja apabila kemasukan debu jalan, tepung atau lalat ke tenggorok. Semua ini termasuk tidak sengaja yang dimaafkan, meskipun ada sebahagian imam tidak setuju dengan pendapat ini.

Boleh berkumur diluar wuduk

Di samping itu, berkumur di luar wuduk juga tidak mempengaruhi sahnya puasa asalkan airnya tidak masuk ke dalam perut (dengan sengaja atau berlebih-lebihan).

Sementara itu, apabila jelas bahawa azan subuh dilakukan tepat pada waktunya seperti termaktub dalam kalendar negeri tempat orang itu berpuasa, maka wajib atasnya meninggalkan makan dan minum seketika ia mendengar azan.

Bahkan seandainya dalam mulutnya masih ada makanan, dia wajib memuntahkannya sehingga sah puasanya. Adapun jika dia mengetahui azan itu dikumandangkan sebelum masuk waktunya selama beberapa minit atau setidak-tidaknya masih diragukan, maka ia boleh makan atau minum sehingga ia yakin terbitnya fajar.

Kini, perkara itu mudah diketahui dengan adanya kalendar waktu solat dan jam yang terdapat hampir pada setiap rumah. Pernah ada seorang lelaki bertanya kepada Ibn Abbas: “Saya makan sahur, maka apabila saya ragu saya berhenti. Ibn Abbas menjawab: Makanlah selama engkau ragu sehingga engkau tidak ragu lagi.”

Boleh makan jika ragu fajar

Imam Ahmad berkata: “Apabila seseorang merasa ragu terbitnya fajar, maka bolehlah dia makan sampai yakin benar bahawa fajar sudah terbit.”

Imam an-Nawawi berkata: “Sahabat Imam as-Syafi’i sepakat mengenai dibolehkan makan (sahur) bagi orang yang ragu terbitnya fajar. Dalilnya, Allah SWT membolehkan makan dan minum pada malam puasa hingga jelas batas terbit fajar. ”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang ditetapkan Allah SWT untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam iaitu fajar.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Nyatalah bahawa waktu imsak untuk beberapa waktu lamanya sebelum fajar secara tetap tidak ada ketentuannya dalam al-Quran dan sunnah. Perkara seperti ini termasuk sikap berlebih-lebihan dalam agama serta menafikan makna mustahab bagi orang yang mengakhirkan sahur seperti dianjurkan oleh Nabi SAW.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya hamil sudah hampir sembilan bulan. Saya bimbang jika berpuasa akan menjejaskan kesihatan anak dalam kandungan. Bolehkah jika saya tidak berpuasa dan jika boleh bagaimana cara menggantikannya. Adakah saya perlu membayar fidyah.

Hukum puasa wanita hamil atau menyusu anak, apabila bimbang atas anak yang dikandungnya atau yang disusukan, maka ulama sepakat boleh tidak berpuasa. Cuma yang menjadi perbezaan pendapat dalam kalangan ulama iaitu sama ada wajib qada (ganti) saja atau perlu membayar fidyah dan qada. Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i, wanita hamil dan menyusu anak, apabila bimbang terhadap anaknya saja tetapi tidak bimbang terhadap dirinya, maka boleh tidak berpuasa tetapi wajib bagi mereka mengqada puasa dan membayar fidyah. Jika mereka bimbang atas dirinya saja atau bimbang atas dirinya dan anaknya, maka hanya wajib qada puasa di waktu lain. Kewajipan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” (Surah al-Baqarah, ayat 184) Ganti puasa atau bayar fidyah

Kewajipan qada juga berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maka sesiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ia tinggalkan itu pada hari-hari lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184) Ada pandangan lain seperti pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan qada saja dan tidak perlu membayar fidyah. Alasannya wanita yang hamil atau sedang menyusui berkedudukan sebagai orang yang sakit. Hal ini seperti mana dikatakan oleh Imam Hasan al-Basri ketika ditanya mengenai wanita yang hamil dan menyusu anak: “Adakah sakit yang lebih berat daripada wanita yang mengandung? Dengan itu, mereka tergolong yang mendapat rukhsah untuk tidak berpuasa.” Jika orang yang sakit dan dalam perjalanan tidak diwajibkan membayar fidyah, maka wanita hamil atau menyusu anak juga tidak wajib membayar fidyah. Cuma kewajipannya adalah mengqada puasa di hari lain.