Posts Tagged ‘berkabung’

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA menziarahi jenazah seorang jiran, baru-baru ini. Ketika bersembang dengan balu si mati yang kesedihan, tiba-tiba ada seorang saudara lelakinya memintas perbualan kami dan menyuruh si balu segera masuk ke dalam bilik, mengaji kerana ‘edah’ sebagai balu sudah bermula. Bolehkah ustaz jelaskan aspek edah dan berkabung bagi seorang wanita yang kematian suami.

Dalam Fikah al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq menyebut: “Sunat menyediakan makanan bagi keluarga yang meninggal seperti hadis daripada Abdullah Jaafar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah makanan buat keluarga Jaafar kerana mereka sedang ditimpa musibah.”

Perbuatan itu disunatkan Allah SWT kerana ia kewajipan dan merapatkan hubungan keluarga si mati dengan jiran tetangga. Imam Syafie berkata: “Sebaiknya dibuat makanan buat keluarga jenazah itu, cukup untuk mengenyangkan mereka selama satu hari dan satu malam, kerana ia adalah sunat dan adalah perbuatan orang berbudi.”

Kalangan imam memandang makruh hukumnya, jika keluarga si mati menyediakan makanan buat orang yang datang berkumpul, kerana menambah malang mereka serta meniru perbuatan orang jahiliah. Hal itu berdasarkan hadis Jarir katanya: “Berkumpul pada keluarga jenazah dan menyediakan makanan selepas dikebumikan, kami anggap sebagai meratapinya.”

Berkenaan edah bagi perempuan yang kematian suami, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 234: “Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri itu, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (edah) selama empat bulan 10 hari. Kemudian selepas habis masa edahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (wali waris perempuan) mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan Syarak). Allah SWT sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa juga yang kamu lakukan.”

Edah bermaksud menahan diri daripada berhias dan menerima lamaran untuk berkahwin. Dalam tafsir Ibn Kathir menyebut: “Ayat ini mengandungi perintah bagi wanita yang ditinggalkan mati oleh suaminya untuk menjalani masa edah empat bulan 10 hari. Dan sudah menjadi ketetapan menurut ijmak bahawa ketentuan itu berlaku bagi isteri yang sudah digauli mahupun yang belum digauli.

Dalam Kitab as-Shahihain diriwayatkan daripada Ummu Salamah, bahawasanya ada seorang wanita yang berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku ditinggal mati suaminya, hingga matanya kesakitan, bolehkah kami memakaikan celak pada matanya?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak.” Pada setiap pertanyaan, Baginda menjawab dengan kata, “tidak” sebanyak dua atau tiga kali.

Lalu Baginda bersabda: Sesungguhnya masa berkabungnya adalah empat bulan 10 hari. Dulu, ketika zaman jahiliah, seorang antara kamu kena mengurung diri (menjalani masa edahnya) selama setahun. (Hadis Riwayat Muslim).

Zainab Ummu Salamah berkata: “Dulu apabila seorang wanita ditinggal mati oleh suaminya, maka ia masuk ke dalam sebuah rumah yang sangat kecil dan mengenakan pakaian yang buruk. Ia tidak meletakkan sebarang wangian dan apa pun selama setahun. Kemudian ia keluar mengambil najis binatang, lalu dilumur pada tubuhnya. Kemudian dibawakan haiwan ternak, keldai, kambing dan burung dan ia menjadikan haiwan-haiwan itu sebagai tanda berakhirnya masa edah dengan menggosok-gosokkan haiwan itu pada kemaluannya, lalu melemparkannya. Sedikit saja haiwan yang digunakan itu hidup.”

Sebenarnya, maksud berkabung dalam Islam bukan seperti diamalkan masyarakat jahiliah. Berkabung adalah meninggalkan atau tidak berdandan seperti memakai minyak wangi dan mengenakan sesuatu yang boleh menarik perhatian lelaki.

Tarikan ini dalam bentuk pakaian, perhiasan dan seumpamanya. Berkabung ini hukumnya wajib atas isteri yang menjalani edah kematian suaminya, tidak ada perselisihan dalam masalah ini. Wajib hukumnya menjalani masa berkabung atas setiap isteri yang ditinggal mati oleh suaminya.

Hukum itu sama saja baik bagi wanita muda atau sudah tidak menarik lagi untuk dinikahi, merdeka ataupun hamba berdasarkan ayat di atas. Hal ini dilakukan demi menunjukkan kesetiaan kepada suami dan menjaga hak suami itu. Demikianlah yang disebut oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya.