Posts Tagged ‘Doa’

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya ada membaca terjemahan ayat al-Quran, surah al-Mukmin, ayat 60: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” Doa bagaimana yang akan diterima Allah SWT dan bilakah masa terbaik berdoa.

Rasulullah SAW pernah ditanya soalan seperti ini dan Baginda menjawab: “Tengah malam yang awal dan pada akhir tiap sembahyang fardu.” (Riwayat Ahmad)

Maksudnya, pada ketika selesai membaca tahiyyat dan sebelum salam. Sabdanya lagi: “Doa antara azan dan iqamah tidak ditolak Allah. Sahabat bertanya: Apa bacaan doanya ya Rasulullah. Jawab Baginda: Mohonlah keselamatan dunia dan akhirat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sahabat lain bertanya pula: “Dengan ucapan apa kita menutup doa? Jawab Rasulullah: Ucapkan Amin.” (Riwayat Abu Dawud)

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah baik dan senang kepada segala yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman seperti mana Dia memerintahkan kepada rasul.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik. Dan kerjakanlah amal yang soleh kerana sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Firman-Nya lagi: “Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.”

Amalan tak diterima

Kemudian Rasulullah SAW memberi contoh seorang yang berdoa tetapi Allah tidak menerima doanya. Digambarkan orang itu musafir dengan rambut kusut tidak teratur, berwajah kotor penuh debu, memanjatkan doa sambil mengangkat kedua tangannya: “Ya Rabbi, ya Rabbi! Kata Rasulullah: Bagaimana Allah akan menerima doanya kerana apa yang ia makan tidak halal, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makanan dari yang haram.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Sahabat, Sa’ad bin Abi Waqqas meminta Rasulullah: “Ya Rasulullah, mohonlah kepada Allah supaya doaku dapat dikabulkan-Nya. Rasulullah menjawab: Wahai Sa’ad, doamu akan terkabul apabila yang engkau makan diperoleh daripada yang baik (halal). Demi (Allah) yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya sesungguhnya seseorang yang memasukkan makanan haram ke perutnya, Allah tidak akan menerima amal kebaikannya selama 40 hari. Seorang yang dagingnya tumbuh daripada yang haram dan daripada riba, lebih patut dagingnya menjadi umpan api neraka.” (Riwayat al-Hafiz bin Mardawih)

Advertisements

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Ustaz, saya selalu berdoa setiap kali sesudah solat. Namun bagaimana cara menjadikan doa kita dimakbulkan Allah. Mungkinkah doa kita akan ditolak walaupun doa yang kita mohon itu baik.

Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT mahu agar manusia mengucap, “Ya Allah Ya Rabbi Ya Tuhanku” supaya manusia memperoleh pahala. Namun ucapan itu hendaklah lahir dari hati yang ikhlas dan dengan sukarela. Perlu diingat, mungkin seseorang memohon sesuatu yang menurut sangkaannya baik, tetapi menurut Allah akan mendatangkan keburukan bagi dirinya. Manusia memohon kekayaan, kalau diberi dapat merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari Allah. Kekayaan yang diberikan kemudian digunakan untuk melanggar ketentuan atau hukum Allah.

Allah berkeinginan menjaga dan melindungi hamba-Nya, memberi kurniaan pahala akhirat dan kebahagiaan syurga. Suatu ketika, seseorang yang mengikuti satu rombongan pelancongan menyesal kerana bas yang hendak dinaikinya terlepas.

Namun beberapa ketika, dia mendapat berita bas yang mahu dinaikinya itu terbabit kemalangan mengerikan. Ternyata gagalnya tadi sebenarnya ada hikmah, sebab jika dia berada bersama rombongan dalam bas, maka dia juga akan mendapat kecelakaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik kepadamu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Pada umumnya manusia melihat dunia dari sudut lahiriah saja, tidak sampai kepada hakikat. Manusia lupa akan kewajipan dalam menuntut haknya (memohon dalam berdoa).

Bagaimana kewajipan yang seharusnya dipenuhi oleh manusia dalam berdoa. Perkara terbabit dijelaskan oleh Allah SWT ketika nabi-nabi memohon doa kepada-Nya dan doa itu dikabulkan Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 90 yang bermaksud: “Bahawasanya mereka adalah orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang khusyuk kepada kami.”

Doa Nabi dikabulkan Allah kerana Nabi menyandang tiga sifat sebagai syarat dikabulkan doa. Pertama, selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan baik. Kedua, berdoa dengan (perasaan) harap dan cemas kalau doanya tidak dikabulkan. Ketiga, khusyuk, tunduk dan patuh kepada Allah.

Demikianlah, wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Bilakah waktu terbaik untuk memohon doa? Saya ingin tahu apakah ucapan terbaik apabila ada orang berbuat baik kepada saya? Adakah cukup untuk kita mengucapkan terima kasih.

Sebenarnya ada beberapa waktu atau masa khusus yang memiliki keistimewaan dengan Allah SWT mengkabulkan doa. Justeru, hendaklah seorang yang beriman berusaha untuk berdoa pada waktu diberkati itu dan memohon dalam doanya kebaikan, rahmat dan afiat.

Jangan meminta seksaan dan kebinasaan. Antara waktu paling mustajab adalah tengah malam dan sesudah solat fardu. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Umamah, beliau berkata (yang bermaksud): Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa bagaimana yang lebih didengar? Baginda SAW menjawab, doa pada tengah malam yang terakhir dan sesudah solat fardu.”

Sebaik-baiknya lakukanlah solat hajat dua rakaat. Rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua, sesudah membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas. Kemudian pada sujud terakhir, berdoalah. Sebaik-baiknya berdoa ketika sujud dalam solat kerana ia dalam keadaan paling dekat dengan Penciptanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sedekat-dekat seorang hamba kepada Tuhannya adalah ketika ia sujud.” Maka perbanyakkanlah berdoa dalam sujud.

Mungkin ada yang bertanya, adakah doa yang pernah dipanjat itu diterima? Rasulullah SAW bersabda dalam hadis daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Doa seseorang kamu akan dikabulkan selama ia tidak terburu-buru, ia mengucapkan, Aku sudah berdoa kepada Tuhanku tetapi Tuhan tidak memperkenankan doaku” (Muttafaqun ‘Alaih).

Atau dalam hadis lain menyebut (yang bermaksud): Doa seseorang itu akan dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau untuk memutuskan silaturahim, selama ia tidak terburu-buru.”

Baginda ditanya, “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?” Baginda berkata: “orang itu berkata, “aku telah berdoa dan berdoa tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan.” Kalau demikian ia akan letih dan ia berhenti berdoa.”

Dalam hadis itu kita dapat memahami seorang Muslim itu hendaklah berdoa kepada Tuhannya terus menerus dan hendaknya doa itu untuk meminta kebaikan. Doanya pasti dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk berbuat dosa dan selama ia tidak terburu-buru. Maksud terburu-buru mencegah terkabulnya doa iaitu yang mengakibatkan seseorang itu meninggalkan doa.

Bagi soalan kedua, ucapan terbaik bagi seorang Muslim, apabila ada orang lain berbuat baik kepadanya iaitu ucapan “Jazakallah khairan.” Maksudnya “Moga Allah membalas kebaikan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda daripada Usamah Zaid, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa diperlakukan dengan baik, kemudian ia berkata kepada orang yang berbuat baik, “Jazakallah khairan (Semoga Allah membalas kebaikan kepadamu)” Maka ia lebih daripada cukup dalam memuji. (Riwayat at-Tirmizi). Demikianlah, wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

BUAT pengetahuan ustaz, saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Saya selalu menghadapi kesempitan duit kerana apabila memperoleh gaji, saya terpaksa membayar pelbagai hutang seperti pinjaman rumah, kereta, barang rumah, kad kredit, hutang dengan kawan, bil rumah dan lain-lain. Gaji saya yang tidak seberapa ini hanya untuk bayar hutang saja. Perkara ini menjadikan hati saya tidak senang. Saya minta pada ustaz, kalau ada doa yang saya boleh amalkan untuk menghadapi hutang yang menimpa saya.

SEMEMANGNYA hutang adalah beban berat yang membuat orang semakin susah, menghinakan orang kerana ditagih pada siang hari dan membuat sedih pada malam hari. Dalam sebuah hadis ada satu cerita yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa pada satu hari Rasulullah SAW masuk masjid.
Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah ra sedang duduk di dalam masjid. Baginda SAW menegurnya: ‘Wahai Abu Umamah, kenapa saya melihat anda sedang duduk di masjid sedangkan ini bukan waktu solat?’ Beliau menjawab: ‘Saya bingung memikirkan hutang saya, wahai Rasulullah.’
Baginda bertanya: ‘Mahukah kamu saya ajarkan kepadamu satu doa yang sekiranya kamu membacanya, maka Allah akan menghilangkan kebingunganmu dan melunaskan hutangmu?’ Beliau menjawab: ‘Sudah tentu wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda, ‘Jika kamu berada di waktu pagi atau petang hari, bacalah doa (iaitu)
Allahumma Inni a’uzubika minal hammi walhazan wa a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa a’uzubika minal jubni wal bukhli wa a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijal (maksudnya, ‘Ya Allah sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada dukacita dan sedih, saya berlindung kepada-Mu daripada lemah dan malas, saya berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil, dan saya berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.’
Kata Abu Ummah ra, selepas membaca doa itu, Allah berkenan menghilangkan kebingunganku dan melunasi hutangku.”
Doa ini sangat baik untuk saudara amalkan pagi dan petang agar Allah membuka jalan untuk saudara melunaskan hutang saudara dengan mudah.
Dalam doa itu mengandungi permohonan pertamanya, ‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kebingungan dan kesedihan.’
Orang yang berhutang biasanya mudah menjadi bingung dan tenggelam dalam kesedihan. Sebab keadaan dirinya yang berhutang itu mengakibatkan hidup dalam kebingungan dan menjadikannya tidak gembira atau bersedih.
Keduanya, ‘ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah dan malas.’ Biasanya orang yang berhutang lebih cenderung menjadi lemah.
Dan biasanya orang yang malas tidak kreatif dalam menjalani perjalanan hidup dan lebih cenderung untuk mencari pinjaman atau berhutang ketika mengalami sedikit rintangan dalam hidup.
Berbeza dengan orang yang rajin lebih cenderung berfikir untuk tidak berhutang selagi ia masih mempunyai solusi selain berhutang dalam hidupnya.
Bahkan orang yang rajin akan menolak sekiranya ada tawaran pinjaman wang kerana ia mengganggap hutang adalah satu beban menyusahkannya.
Ketiga, ‘ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil.’ Biasanya orang terbeban dengan hutang ini boleh menjadi orang yang ditimpa rasa takut.
Hutang boleh menjauhkan dirinya daripada sifat berani dan menjadikan dirinya merendah diri.
Orang yang berhutang mudah menjadi bakhil dan jauh daripada sifat pemurah dan dermawan.
Apabila ada orang meminta sedekah, ia enggan memberikan kerana dalam fikirannya menyatakan, ‘Bagaimana hendak bersedekah sedangkan hutangnya saja tidak habis dibayar.’ Keempat, ‘Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.’ Doa pada bahagian akhir ini mengandungi permohonan seorang yang terbeban dengan hutang.
Ia menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji agar membuka jalan bagi masalah hutang yang berpanjangan yang membebani hidupnya.
Di samping itu ia memohon agar dirinya dilindungi oleh Allah SWT daripada kejahatan dan penindasan manusia.
Penindasan yang dimaksudkan ini adalah daripada pihak yang memberi hutang. Kerana ada juga orang yang memberi hutang berasa dirinya berjasa dengan meminjamkan wangnya kepada orang yang berhutang, lalu ia berasa berhak untuk melakukan apa saja terhadap orang berhutang. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

BAGAIMANAKAH musafir mengikut cara Islam? Soalan kedua, apakah ada sebarang doa khusus untuk kereta baru?

AL-HAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala Rasulillah waba’d.

Apabila seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin ‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Wahai Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).

Ketika selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).

Apabila urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.

Apabila seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).

Orang musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan solat Isyak.

Perkara itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan kerehatan.

Apabila seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu ‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi, Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).

Apabila seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.

Kalangan perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”

Disunatkan juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.

Bagi soalan kedua, Allah SWT berfirman dalam surah az-Zukhruf ayat 13 yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya, dan Ia mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat menggunakannya (bagi tujuan pengangkutan). Dan supaya kamu duduk tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan “Maha Suci Tuhan yang sudah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membeli unta, maka hendaklah kamu memegang bonggol unta dan ucapkanlah: “Allahuamma Inni As’aluka min Khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi wa a’uzhu bika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi. (Maksudnya: Ya Allah! Daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan keberkatan. Daku memohon diri kepada-mu dari keburukan kenderaan ini dan keburukan tabiatnya).

Oleh: Ustaz  Zahazan Mohamed

SAYA ingin mengetahui apakah doa dan zikir untuk mendapatkan perlindungan dan pertolongan daripada Allah?

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam `ala Rasulillah waba’du. Dalam surah al-A’raf ayat 200, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut dengan hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Merahmati.”

Maksud minta perlindungan atau isti’azah di sini adalah ucapan, A’uzubillahi minasy syaitanir rajim. Maksudnya, Aku memohon perlindungan diri kepada-Mu daripada (gangguan) syaitan yang direjam. Dalam satu hadis riwayat Ahmad, hendaklah sesudah itu meludah ke kiri sebanyak tiga kali.

Antara amalan untuk menghalau syaitan dan bisikannya adalah:

Pertama, berlindung kepada Allah SWT daripada godaannya dengan menyebut a’uzubillahi minasy syaitanir rajim,

Kedua, menyerukan azan,

Ketiga, berzikir dan membaca al-Quran.

Ketika hendak membaca al-Quran juga disuruh untuk kita isti’azah (mohon perlindungan). Allah SWT menyebut dalam surah al-Nahl ayat 98 yang bermaksud: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.”

Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa melindungi al-Hasan dan al-Husain dengan mengucapkan: U’izukuma bikalimaatillahit taammati min kulli syaitanin wahaammatin wamin kulli ‘ainin laammah. Maksudnya, Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna dan segala syaitan, binatang berbisa dan setiap mata yang jahat.

Dalam surah Ali Imran ayat 36, Allah SWT menceritakan mengenai ibu Maryam berdoa ketika Maryam dilahirkan dengan doanya: U’izuha bika wazurriyataha minas syaitanir rajim. Maksudnya, Aku perlindungkan dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam.

Doa berkenaan elok untuk kita amalkan agar anak yang dilahirkan aman dari gangguan jahat syaitan. Ayat penuhnya adalah seperti berikut yang bermaksud: Maka apabila ia (ibu Maryam) melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”

Ketika bertemu dengan musuh, Rasulullah SAW mengajar untuk berdoa dengan doa berikut: Allahumma Inna naj’aluka fi nuhurihim wa na’uzubika min syururihim. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan Engkau ada di leher mereka supaya mereka tidak berdaya ketika berhadapan dengan kami] dan kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan mereka.

Dan, ketika dalam keadaan jiwa tidak tenteram, Rasulullah SAW mengajar doa berikut: Allahumma inni A’uzubika minal hammi wal hazni wal `ajzi wal kasali wal Bukhli wal jubni wa dhola’id daini waghalabatir rijal. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari duka dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kebakhilan dan penakut, bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kepada saudara yang bertanya, sebenarnya banyak lagi doa pelindung yang diajar oleh Rasulullah SAW agar terpelihara daripada sebarang keburukan dan perkara yang tidak baik. Saya mencadangkan saudara dapatkan buku saya yang bertajuk 101 Doa Daripada Hadis Yang Sahih, Insya-Allah jika diamalkan dalam kehidupan akan mendatangkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup saudara. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

ASSALAMUALAIKUM. Saya pernah mendengar ada masa tertentu Allah memakbulkan doa hamba-Nya. Bolehkah ustaz jelaskan dengan ayat al-Quran atau hadis bilakah masa itu.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Mohonlah (berdoalah) kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan (doa) kamu itu.” (Surah Ghafir, ayat-60)

Dalam surah al-Baqarah ayat 186 bermaksud: “Aku perkenankan doa orang yang berdoa apabila ia memohon (berdoa) kepada-Ku.”

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Doa itu adalah ibadat.”

Ibnu ‘Atha’ berkata: “Doa itu mempunyai beberapa rukun (sendi) yang kuat, mempunyai beberapa sayap mampu naik ke langit tinggi, mempunyai beberapa sebab menyebabkan diterimanya. Menurutnya lagi, rukun doa itu ialah hadir hati bila berdoa serta tunduk menghinakan diri kepada Allah SWT. Sayapnya ialah berdoa dengan sepenuh kemahuan dan keikhlasan yang timbul daripada lubuk jiwa dan bertepatan dengan waktunya. Sebab ia diterima ialah berselawat kepada Nabi sebelum berdoa.

Satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tuhan kita turun ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga yang akhir. Maka Tuhan berkata: “Sesiapa berdoa kepada-Ku maka Aku akan perkenankan doanya, sesiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, sesiapa meminta ampun maka Aku ampuni dia.”

Hadis lain menyatakan: “Pada waktu malam, sesungguhnya ada satu masa jika seseorang Muslim memohon kepada Allah kebajikan dunia dan akhirat, nescaya Allah SWT mengkabulkannya.

Secara ringkas, waktu berdoa mustajab ialah:

Ketika turun hujan.

Ketika hendak memulakan solat dan sesudahnya.

Ketika menghadapi barisan musuh dalam medan peperangan.

Pada waktu tengah malam.

Di antara azan dan qamat.

Ketika iktidal akhir solat.

Ketika sujud dalam solat.

Ketika khatam (tamat) membaca al-Quran 30 juzuk.

Sepanjang malam, terutama sekali sepertiga yang akhir juga waktu sahur.

Sepanjang hari Jumaat kerana mengharap bertemu dengan saat diperkenankan doa (ijabah) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.

Antara Zuhur dengan Asar dan antara Asar dengan Maghrib.

Selain itu, tempat utama mustajab doa pula adalah :

Ketika melihat Kaabah

Ketika melihat Masjid Rasulullah SAW.

Ketika melakukan tawaf.

Di Multazam.

Di telaga Zamzam.

Di Kaabah.

Di belakang Makam Ibrahim.

Di Bukit Safa dan Marwah.

Di Arafah, Muzdalifah, Mina dan berhampiran Jamrah (tempat melontar).

Tempat mulia seperti masjid, surau dan lain-lain.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku sudah memerintahkan supaya berlaku adil dan mendirikan solat pada setiap masjid serta berdoalah kamu kepada-Nya dengan mengikhlaskan taat kepada-Nya. Bagaimana Tuhan sudah menjadikan kamu pada permulaan, begitu pulalah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-A’raf ayat 29)

Islam sangat menyukai kita berdoa untuk seseorang yang jauh daripada kita. Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Doa seorang Muslim (untuk kebaikan) saudaranya (Muslim) yang jauh adalah mustajab.” Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Pada sisi orang berdoa itu berdirinya seorang Malaikat. Setiap kali ia berdoa kebaikan untuk saudara Muslimnya, maka Malaikat yang ditugaskan itu berkata: “Amin (memohon agar doa itu diperkenankan) dan bagimu seumpamanya.”

Begitu juga kita disuruh mendoakan orang yang berbuat baik kepada kita. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diberikan kepadanya kebajikan, lalu ia mendoakan orang itu dengan menyebut ‘Jazakallahu khairan’ (mudah-mudahan Allah SWT membalasmu dengan kebajikan yang lebih baik), maka seseorang itu sudah memenuhi hak sanjungan. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesiapa membuat kebajikan (makruf) kepadamu, maka balaslah kebajikan itu. Jika engkau tidak sanggup membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga terasa kamu membalas kebajikan orang itu dengan sesempurnanya. Wallahua’lam.