Posts Tagged ‘isteri solehah’

Oleh: Dr Zahazan Mohamed

Bagaimana sekiranya seorang isteri menolak ajakan suaminya dan memberikan tawaran kebendaan, sedangkan suaminya memenuhi segala keperluan diperlukan oleh isteri?

Sekiranya si isteri menolak ajakan suaminya dengan alasan hendak menunaikan solat Subuh, adakah dia dikira berdosa kerana dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Isteri-isterimu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”

Jika isteri suka meremehkan kehendak suami, patutkah suami berkahwin lagi?

Ingin tahu

Selangor

 Allah memerintahkan isteri untuk mentaati perintah suami dan Dia memberikan kepada suami hak yang sangat besar terhadap isterinya.

Nabi juga menjelaskan betapa besarnya hak ini sebagaimana hadis riwayat Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah RA yang mengatakan Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jika aku berkuasa untuk memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada seseorang, nescaya akan aku perintahkan wanita bersujud kepada suaminya.”

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jika seseorang perempuan menolak ajakan suaminya (untuk berhubung badan), maka malaikat akan melaknatnya sampai pagi hari.”

Akad pernikahan adalah akad yang menghalalkan kemaluan perempuan dengan balasan memberikan segala keperluan kepadanya sama ada ia nafkah zahir mahupun batin.

Selama suami masih memenuhi kewajipannya terhadap isteri seperti memberi makan, tempat tinggal dan pakaian, maka isteri wajib mematuhi suaminya. Tiada alasan baginya untuk memberikan penawaran atas kewajipannya.

Daripada penjelasan itu, tindakan isteri yang melarang suaminya dan memberikan tawaran kebendaan atas penolakannya adalah haram. Dia melanggar peraturan yang ditetapkan Allah dan wajib menjauhi perbuatan itu.

Seterusnya, mendirikan solat pada waktunya adalah satu perintah yang wajib dikerjakan sementara mengerjakannya pada waktu lain adalah satu bentuk kemaksiatan.

Suami wajib memberikan kelapangan bagi isteri untuk melakukan solat Subuh pada waktunya. Tiada larangan antara memberikan kelapangan kepada isteri untuk melakukan solat Subuh pada waktunya dengan ayat al-Quran ditanyakan itu (ayat 223 daripada surah al-Baqarah).

Dapat kita ketahui makna ayat itu juga adalah pada waktu yang dikehendaki. Namun, waktu itu tidak menjadikan kamu terlambat melakukan kewajipan diperintahkan Allah seperti meninggalkan solat dan seumpamanya.

Hubungan badan boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan masih banyak waktu untuk melakukannya sehingga tidak bertembung dengan waktu solat.

Seorang isteri hendaklah menunjukkan rasa ghairahnya dengan suami dan si suami jangan cepat berkahwin dengan wanita lain sebelum dia memberikan nasihat kepada isteri berulang kali. Jika si isteri sentiasa meremehkan ajakan suami dan tiada tanda berubah, barulah suami berhak berkahwin dengan wanita lain atau menceraikannya dengan cara baik sebagaimana diajarkan oleh Islam.

Sebarang pertanyaan sila e-mel kepada: rencana@hmetro.com.my

Penulis ialah pendakwah

( END )

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya akan berkahwin tidak lama lagi tetapi saya berdebar-debar. Saya ingin menjadi isteri yang terbaik buat suami. Bolehkah ustaz beri petua bagaimana menjadi isteri salihah.

 Tahniah kepada saudari yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Saya ingin memetik beberapa pesanan daripada kitab Risalatul Mukminah yang menyebut 10 pesanan bagi bakal pengantin.

Hendaklah anda jaga 10 perkara ini, nescaya suami akan menjaga anda iaitu bersikap rendah dirilah kepada suami dengan menerima seadanya. Kedua, tunduk dan patuhlah kepada suami dengan sebaik-baiknya.

Ketiga, jaga selalu penampilan anda di hadapan suami, jangan sampai suami anda melihat anda dalam keadaan penampilan yang buruk. Keempat, jagalah pula apa yang biasa diciumnya (dengan memakai haruman), jangan sampai suami menghidu bau yang busuk.

Jaga waktu tidur suami

Kelima, jagalah selalu waktu tidurnya kerana kurangnya tidur boleh membangkitkan emosi kemarahan. Keenam, jagalah selalu waktu makannya kerana sesungguhnya rasa lapar juga boleh membangkitkan emosi kemarahan.

Ketujuh, jagalah hartanya dan layanilah dia. Adapun pokok permasalahan yang berkaitan dengan harta adalah mengaturnya dengan baik. Kelapan, layanilah anak-anaknya dengan mendidiknya dengan baik.

Kesembilan, jangan sekali-kali anda melawan atau menderhaka perintahnya kerana sesungguhnya jika anda melanggar perintah suami bererti anda akan membuat dirinya marah. Ke-10, jangan sekali-kali membocorkan rahsianya kerana membocor rahsia suami bererti anda mengkhianatinya.

Seterusnya jangan anda menunjukkan kegembiraan di depan suami ketika suami dalam keadaan sedih dan jangan anda menunjukkan kesedihan ketika dia dalam keadaan gembira.

Mungkin ramai telah membaca pesan sedemikian tetapi tidak ramai yang mahu mengamalkannya. Sesungguhnya Islam meletakkan isteri salihah sebagai kekayaan berharga dan termasuk kesenangan dunia dapat disimpan sesudah iman dan takwa kepada Allah.

Perbendaharaan terbaik

Nabi SAW bersabda kepada Umar: “Mahukah kamu saya tunjukkan perbendaharaan (khazanah) terbaik untuk disimpan oleh seseorang? Iaitu isteri yang salihah, apabila melihatnya pasti menyenangkan, apabila diperintah maka pasti mentaatinya dan apabila ditinggal (pergi suami) pasti dapat menjaga dirinya dan harta suaminya.” (Riwayat Abu Daud)

Seterusnya Nabi SAW bersabda, dunia adalah tempat kesenangan dan sebaik-baik kesenangan dunia adalah wanita salihah. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang menyebabkan kebahagiaan manusia dan ada tiga perkara yang menyebabkan kesengsaraan manusia. Adapun yang menyebabkan kesenangan manusia ialah isteri salihah, tempat tinggal yang luas dan kenderaan yang bagus. Adapun yang menyebabkan kesengsaraan manusia ialah isteri yang buruk perangainya, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang bermasalah.”

Angkat martabat wanita

Rasulullah SAW bersabda: “Ada empat perkara yang sesiapa yang diberi empat perkara itu bererti ia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat iaitu hati yang bersyukur, lisan yang berzikir, kesabaran dalam menghadapi cubaan serta isteri yang tidak berkhianat terhadap dirinya sendiri dan tidak pula terhadap suaminya.”

Islam mengangkat martabat dan nilai wanita dengan cara meletakkan wanita sebagai isteri. Bahkan, Islam menganggap wanita yang mampu melaksanakan kewajipan sebagai isteri kepada suami dengan baik sebagai bentuk jihad di jalan Allah.

Justeru, saudari hendaklah berusaha untuk menjadi isteri yang selalu menghiburkan suami dan mentaati perintahnya selagi mana tidak menyalahi syariat.