Posts Tagged ‘Persoalan Agama’

Oleh: Ustaz  Zahazan Mohamed

Seorang rakan baik saya ditimpa musibah apabila rumahnya dimasuki perompak. Bukan hanya harta benda yang dicuri tetapi isteri juga diperkosa dengan kejam. Kini sahabat saya berada dalam keadaan tertekan dan berasa bersalah kerana gagal melindungi keluarga. Sudah tentu isterinya juga mengalami trauma yang teruk hingga enggan melakukan hubungan kelamin bersama suaminya. Melihat keadaan rakan ini saya bimbang sekiranya dibiarkan tragedi itu menyebabkan mereka bercerai berai. Apa yang perlu saya lakukan? Apa pandangan Islam terhadap isteri yang diperkosa? Bagaimana jika dia mengandung?

Tragedi yang menimpa keluarga sahabat saudara sangat dahsyat dan kejam. Ia adalah ujian maha sukar untuk siapa saja. Tindakan saudara memberikan sokongan kepada mereka adalah perbuatan terbaik sebagai seorang sahabat.

Perlu dijelaskan kepada mereka bahawa apa yang berlaku bukan salah mereka tetapi penjenayah itu yang wajib disalahkan. Ia juga adalah ketentuan Allah yang kita sebagai manusia biasa tidak dapat mengubahnya.

Teruskan kehidupan

Sebaiknya terima ketentuan Allah ini dengan sabar dan teruskan kehidupan. Sebaliknya perbuatan menyalahkan diri sendiri dan mengecam takdir Allah hanya menambahkan rasa gundah dan kecewa.

Saad bin Abi Waqqas ra menyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Antara kebahagiaan seorang anak Adam itu adalah apabila dia reda dengan apa yang ditetapkan Allah kepadanya.

Antara penderitaan seorang anak Adam pula adalah apabila dia tidak mahu menyerahkan pilihannya kepada Allah.

Dan di antara penderitaan seorang anak Adam itu juga adalah apabila dia marah terhadap apa yang ditetapkan Allah kepadanya.”

Berkenaan dengan isteri beliau, menurut Dr Wahbah az-Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, dia perlu menjalani iddah selama tiga kali suci bagi membersihkan rahimnya daripada benih perogol itu.

Imam Ahmad mencadangkan agar suami mengelakkan diri daripada meniduri isterinya dalam tempoh itu.

Selain memastikan rahimnya bersih daripada benih orang lain, tempoh ini juga mungkin dapat mengubati trauma yang menimpa isteri itu.

Mereka juga boleh meminta doktor membersihkan rahim daripada benih asing. Bagaimanapun sekiranya dia didapati hamil, sahabat saudara perlu mendapatkan penjelasan doktor tentang tempoh kehamilan tersebut. Jika dia telah hamil dua bulan, sedangkan tragedi tersebut hanya berlaku bulan lepas, bererti anak yang dikandunginya adalah anak rakan saudara dan dia telah pun hamil ketika diperkosa.

Lakukan ujian DNA Untuk lebih kepastian, saudara juga boleh melakukan ujian DNA selepas anak itu lahir untuk memastikan nasab keturunannya.

Sekiranya terbukti si isteri hamil daripada pemerkosaan itu, pengguguran boleh dilakukan dengan beberapa syarat. Sebagaimana dijelaskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kelai ke-52 yang bersidang pada 1 Julia 2012 telah memutuskan berkenaan hukum pengguguran kandungan mangsa rogol, seperti berikut:

– Haram menggugurkan kandungan janin yang sudah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

– Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Tetapi sekiranya mereka memilih untuk meneruskan kandungan hingga bersalin, ia tidak salah dan anak dalam kandungan juga tidak berdosa. Tetapi ia tidak boleh dinasabkan kepada si suami.

Oleh: Zahazan Mohamed

 

Benarkah Islam membenarkan suami memukul isterinya kerana suami saya suka memukul saya apabila marah.

Islam tidak menerima kehidupan rumah tangga ditegakkan atas penghinaan terhadap wanita atau dilandaskan sikap buruk kepadanya, baik dengan perkataan mahupun perbuatan. Oleh itu, dengan alasan apa pun suami tidak boleh mencela dan memaki hamun isteri, lebih-lebih lagi di depan anak.

Jika terhadap binatang manusia dilarang melakukan kekasaran, apa lagi terhadap manusia terutama isteri yang juga pendidik dan pemelihara rumah tangga, teman hidup, ibu serta manusia paling dekat suami.

Rasulullah SAW mengecam seorang wanita yang melaknat untanya, kemudian baginda menyuruh supaya unta itu dibiarkan dan tidak digunakan oleh sesiapa pun, bahkan pemiliknya dilarang menggunakannya.

Semua itu sebagai hukuman kerana wanita berkenaan memaki dan melaknat untanya. Maka bagaimana pula apabila melaknat dan mencaci maki orang Muslim. Apa lagi masalah memukul isteri.

Tidak dibolehkan sama sekali memukul wanita kecuali dalam keadaan darurat iaitu ketika nusyuz, derhaka kepada suami dan melanggar perintah suami yang menjadi haknya dalam kehidupan rumah tangga.

Keadaan darurat perlu diukur menurut ukurannya iaitu apabila cara lain seperti memberi nasihat dan pisah tempat tidur sudah tidak berkesan lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Pada hujung ayat terdapat ancaman terhadap orang yang melampaui batas terhadap wanita (isteri) yang taat bahawa Allah SWT lebih tinggi dan lebih besar dari mereka. Meskipun di sana terdapat rukhsah (keringanan) pada masa darurat, namun perlu diingat Nabi SAW bersabda: “Orang yang baik di antara kamu tidak akan memukul (isterinya).”

Maka jelaslah orang yang baik tidak akan memukul isterinya, bahkan mereka akan mempergaulinya dengan lemah lembut, kasih sayang dan akhlak yang bagus.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang paling baik di antara kamu terhadap isteriku.”

Nabi SAW tidak pernah memukul wanita, bahkan tidak pernah memukul pembantunya dan binatang selama hidupnya. Baginda memberi sindiran tajam terhadap lelaki yang memukul isterinya: “Bagaimana ia memukul isterinya pada pagi hari, lalu pada malam harinya ia menggaulinya?”

Apabila suami tidak dapat mengawal marah sehingga melayangkan tangan kepada isterinya, maka ia hendaklah segera berdamai dengan isterinya dan menyenangkan hatinya. Ini akhlak mulia yang patut dimiliki untuk mengendalikan rumah tangga muslimah.

Memukul isteri atau mencaci maki di depan anak, ia tindakan tidak sesuai dengan peribadi seorang Muslim yang mengetahui akan keunggulan dan keagungan agamanya. Sebagai pemimpin (rumah tangga) mereka akan dipertanggungjawabkan terhadap kepimpinannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang baik di antara kamu tidak akan memukul isterinya.” Mudah faham, orang yang memukul isterinya adalah seburuk-buruk dan serendah-rendah manusia.

Oleh : Ustaz Zahazan Mohamed

Apabila melihat anak orang lain menghafaz al-Quran, terasa sejuk jiwa memandang. Teringin rasanya untuk mendapat anak yang menghafaz al-Quran. Masalahnya, anak saya susah untuk mendengar cakap ibu bapa, asyik suka bermain serta liat untuk membaca al-Quran. Bagaimana hendak mendidik anak untuk cinta kepada al-Quran dan menghafaz al-Quran.

Ibu bapa hendaklah menyedari bahawa cinta mereka kepada anak adalah berdasarkan fitrah (naluri), namun bukan bererti mereka akan dicintai oleh anak berdasarkan fitrah pula. Umumnya perasaan itu adalah tindak balas anak terhadap sikap ibu bapa dalam berinteraksi. Oleh itu, hasilnya sangat bergantung pada kesan perta-ma anak terhadap kedua ibu bapanya.

Mendidik anak supaya cinta kepada al-Quran, saudara terlebih dulu perlu tanamkan rasa cinta anak kepada ibu bapanya. Jika saudara mencintai al-Quran, maka anak akan cinta terhadap apa yang anda cintai.

Berikut ada beberapa cara yang boleh mendorong anak mencintai ibu bapanya. Pertama, usahakan supaya anda selalu dekat kepada Allah SWT. Berdoalah kebaikan untuk anak anda supaya Allah SWT mempersatukan hati anda dengan anak anda.

Kemampuan akal

Kedua, layan anak sesuai dengan tahap kemampuannya. Peganglah prinsip `perlakukan orang berdasarkan kemampuan akalnya’ sehingga anda boleh menyelami hatinya dengan mudah.

Berinteraksi dengan anak berdasarkan konsep perbezaan individu supaya tidak membebani anak di luar kemampuannya.

Ketiga, berilah bimbingan dan petunjuk dengan kaedah yang berbeza-beza supaya ia tidak merasa jemu ketika belajar.

Keempat, fahami sifat kejiwaan dan kepandaian anak supaya anda boleh berbicara dalam bahasa yang sesuai dengan keperibadiannya masing-masing.

Kelima, berusahalah menjadi kawan bagi anak anda dan berinteraksi dengan mereka dalam konteks pendidikan, bukan sebagai pahlawan yang memberi makan, tempat tinggal serta pakaian dengan anggapan mereka akan patuh kepada anda.

Keenam, tanamkan rasa keyakinan diri pada anak supaya memiliki jiwa yang lurus sehingga mereka mampu untuk selalu menyintai, bekerja dan menempuh masa depan dengan penuh semangat.

Ketujuh, berhati-hatilah dengan sekatan yang menghalangi kebahagiaan serta ketenangan anda bersama anak-anak.

Gunakanlah semboyan, `mencegah lebih baik daripada mengubati’. Semampu mungkin hindari faktor yang boleh menarik berlakunya pelbagai permasalahan pada anak dan lindungilah mereka daripada keburukannya.

Jadi teladan

Akhirnya, usahakan supaya anak merasakan anda menyintai mereka. Ungkapkan rasa sayang itu melalui tindakan dan kata-kata. Ucapkan lebih daripada sekali dalam sehari dengan diiringi tindakan nyata yang membuktikan kasih sayang anda.

Sekali lagi diingatkan, seorang pendidik hendaklah boleh menjadi teladan utama bagi anak didiknya. Jika ia ingin menanamkan rasa cinta al-Quran di hati mereka, dia terlebih dulu perlu menunjukkan kecintaannya kepada al-Quran.

Seterusnya, beri keyakinan kepada anak bahawa sesiapa yang memelihara al-Quran, Allah SWT akan memelihara mereka dan sesiapa yang berpegang teguh kepada al-Quran, Allah akan menolongnya kerana kitab ini dapat membentuk peribadi mulia.

Bagaimanapun, jika tingkah laku ibu bapa atau pendidik berlawanan dengan apa yang diperintahkan kepada anak-anak, akibatnya mereka akan membenci semua yang diajarkannya termasuk menghafal al-Quran.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Ada rakan mengatakan kaya itu tidak boleh kerana tidak ikut sunah. Saya tidak bersetuju kerana bagi saya menjadi kaya bukan perkara tidak baik, sebaliknya apabila kaya kita boleh membantu orang susah. Mohon pencerahan ustaz.

Tidak ada larangan bagi Muslim untuk mencari kekayaan dan berusaha mendapatkannya. Kekayaan pada pandangan Islam bukanlah dosa, bukan pula hal hina dan tercela. Harta tidaklah buruk dan dalam Islam tidak ada ajaran seperti ajaran agama Kristian yang mengatakan: “Sesungguhnya orang kaya itu tidak akan masuk ke kerajaan langit sehingga unta dapat masuk ke dalam lubang jarum.”

Bahkan Allah SWT sudah memberi kenikmatan kepada Rasul-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.”

Antara doa Rasulullah SAW termasuklah: “Ya Allah, aku mohon kepada-Mu petunjuk dan ketakwaan, keluhuran budi dan kekayaan.” (Riwayat Muslim)

Selain itu diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqqash, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang kaya (berkecukupan) dan yang tidak menampakkannya.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW pernah bersabda kepada Amr bin Ash: “Sebaik-baik harta yang baik bagi orang yang soleh.” (Riwayat Ahmad)

Namun demikian, saya ingin mengemukakan beberapa hakikat kepada saudara iaitu Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta itu (meskipun tidak buruk) adalah fitnah yang menakutkan.” (Surah at-Taghabun, ayat 15)

Lebih-lebih lagi jika pemiliknya merasa cukup dengan kekayaannya itu dan merasa tidak perlu kepada orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas kerana dia melihat dirinya serba cukup.” (Surah al-Alaq, 6-7)

Kaya hati

Kekayaan benda bukanlah segala-galanya. Adakalanya seseorang memiliki kekayaan berbilion tetapi hatinya miskin. Rasulullah SAW bersabda: “Kaya itu bukan kerana banyaknya harta, tetapi kaya itu kaya hati.” (Riwayat al-Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata: “Mulialah orang yang kaya hati, meskipun cuma sedikit hartanya. Dan orang yang kaya harta merasa mulia, padahal sebenarnya ia hina.” Kalam hikmah ada mengatakan, sedikit tetapi mencukupi lebih baik daripada banyak yang melalaikanmu.

Sebahagian orang beranggapan terhadap dirinya atau terhadap orang lain (bahkan kadang-kadang berjanji kepada Allah) bahawa apabila dia berhasil meraih kekayaan dia akan berbuat begitu dan begini tetapi setelah berhasil ia kemudian merosakkan janji-janjinya.

Sikap ini adalah sikap orang munafik yang diceritakan Allah SWT sebagai contoh buat diri kita. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurnia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang soleh. Maka setelah Allah memberikan sebahagian dari kurnia-Nya, mereka kikir dengan kurnia itu dan berpaling. Dan mereka memang orang yang selalu membelakangi (kebenaran).” (Surah at-Taubah: 75-76)

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya ada membaca terjemahan ayat al-Quran, surah al-Mukmin, ayat 60: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” Doa bagaimana yang akan diterima Allah SWT dan bilakah masa terbaik berdoa.

Rasulullah SAW pernah ditanya soalan seperti ini dan Baginda menjawab: “Tengah malam yang awal dan pada akhir tiap sembahyang fardu.” (Riwayat Ahmad)

Maksudnya, pada ketika selesai membaca tahiyyat dan sebelum salam. Sabdanya lagi: “Doa antara azan dan iqamah tidak ditolak Allah. Sahabat bertanya: Apa bacaan doanya ya Rasulullah. Jawab Baginda: Mohonlah keselamatan dunia dan akhirat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sahabat lain bertanya pula: “Dengan ucapan apa kita menutup doa? Jawab Rasulullah: Ucapkan Amin.” (Riwayat Abu Dawud)

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah baik dan senang kepada segala yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman seperti mana Dia memerintahkan kepada rasul.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai Rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik. Dan kerjakanlah amal yang soleh kerana sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Firman-Nya lagi: “Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu.”

Amalan tak diterima

Kemudian Rasulullah SAW memberi contoh seorang yang berdoa tetapi Allah tidak menerima doanya. Digambarkan orang itu musafir dengan rambut kusut tidak teratur, berwajah kotor penuh debu, memanjatkan doa sambil mengangkat kedua tangannya: “Ya Rabbi, ya Rabbi! Kata Rasulullah: Bagaimana Allah akan menerima doanya kerana apa yang ia makan tidak halal, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makanan dari yang haram.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Sahabat, Sa’ad bin Abi Waqqas meminta Rasulullah: “Ya Rasulullah, mohonlah kepada Allah supaya doaku dapat dikabulkan-Nya. Rasulullah menjawab: Wahai Sa’ad, doamu akan terkabul apabila yang engkau makan diperoleh daripada yang baik (halal). Demi (Allah) yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya sesungguhnya seseorang yang memasukkan makanan haram ke perutnya, Allah tidak akan menerima amal kebaikannya selama 40 hari. Seorang yang dagingnya tumbuh daripada yang haram dan daripada riba, lebih patut dagingnya menjadi umpan api neraka.” (Riwayat al-Hafiz bin Mardawih)

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

 

Baru-baru ini saya mendapat cahaya mata dan bercadang untuk membuat aqiqah anak pada hari raya korban. Di samping itu, saya juga mahu membuat korban. Boleh ustaz beri penjelasan berkenaan aqiqah dan korban supaya saya lebih faham. Seterusnya bolehkah daging aqiqah dimakan oleh tuan yang membuat aqiqah. Bolehkah mengucapkan Alhamdulillah sesudah bersin ketika sedang melakukan solat. Terima kasih ustaz.

Secara ringkasnya, berkorban dengan menyembelih binatang ternak seperti lembu, kambing atau unta hukumnya sunat muakkad (ertinya sangat dituntut). Umur seekor kambing iaitu setahun lebih (berganti gigi), bagi lembu berumur dua tahun lebih (termasuk kerbau), sedangkan bagi unta pula lima tahun lebih. Seekor unta atau lembu cukup untuk korban sebanyak tujuh orang sedangkan kambing untuk seorang saja.

Antara syarat binatang yang dijadikan korban, pertama, tidak terpotong (akibat cacat) baik telinganya mahupun ekornya. Kedua, tidak terlalu kurus, tidak terpotong tanduknya, tidak buta dan tidak tempang.

Sedekah sembelihan korban

Waktu penyembelihan korban iaitu sesudah solat Aidiladha hingga akhir hari Tasyriq (13 Zulhijjah). Disunatkan waktu menyembelihnya dengan membaca Bismillah, selawat ke atas nabi, menghadap ke kiblat, bertakbir dan berdoa semoga korban diterima oleh Allah SWT.

Orang yang berkorban dibenarkan makan daging korbannya tetapi tidak dibenarkan jika keadaannya sebagai korban nazar. Daging korban tidak boleh dijual tetapi hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin.

Manakala aqiqah hukumnya sunat iaitu menyembelih binatang pada waktu anak berumur tujuh hari. Buat anak lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Namun, menurut Imam Malik, aqiqah itu cukup dengan seekor kambing baik lelaki mahupun perempuan berdasarkan alasan hadis. Daging aqiqah yang hendak disedekahkan kepada fakir miskin disunatkan dimasak terlebih dulu. Selain disedekah daging aqiqah boleh dimakan tuan dan ahli keluarga.

Mazhab al-Shafie dijelaskan oleh al-Shirazi: “Dan disunatkan memasak dagingnya (aqiqah) masakan manis supaya mengambil tafa’ul (mudah-mudahan) supaya akhlaknya juga manis.” (al-Muhazzab bi sharh al-Nawawi)

Masak dengan manis

Pandangan memasak dengan rasa manis ini dikatakan lemah kerana tidak ada dalil yang menyuruh atau menggalakkan masak dengan rasa manis.

Bagi pertanyaan ketiga, seorang sahabat bernama Rifa’at bin Rafi’ menceritakan, dia solat berjemaah bersama Nabi SAW lalu dia bersin dan mengucapkan “Alhamdulillah hamdan kathiran thayyiban mubarakan fihi kama yuhibbu wa yardha.”

Sesudah Nabi SAW selesai solat, Baginda bertanya: “Siapa yang bercakap ketika solat? Tidak ada seorang pun yang menjawab sehingga Nabi SAW bertanya tiga kali. Ketika itu barulah Rafi’ mengaku. Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tiga puluh malaikat berlumba-lumba untuk menghantarnya (ucapan itu) ke langit.”

Dengan demikian mengucapkan Alhamdulillah dalam solat selepas bersin tidak membatalkan solat.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Adakah isteri wajib melayan suami seperti memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah dan sebagainya sedangkan saya juga bekerja. Baru-baru ini, kawan-kawan suami saya datang ke rumah, tetapi saya tidak dapat menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang disebabkan saya demam. Terpaksalah suami saya menyediakan semuanya dan ini membuatkan saya rasa bersalah. Adakah saya dikira derhaka kepada suami.

Menurut pendapat masyhur kalangan empat mazhab, seorang isteri tidak diwajibkan melayani suaminya iaitu menyediakan makan, mencuci pakaian dan seumpamanya. Sean-dainya isteri melakukannya, ia hanyalah sebagai kesopanan atau akhlak mulia terhadap suami. Bukan kerana kewajipannya. Namun, dalam menentukan -batasnya, be-berapa mazhab berselisih pendapat.

Bahagi tugas rumah tangga

Antaranya, Mazhab Hanafi mengatakan layanan wajib dilakukan isteri adalah dalam bentuk galakan agama bukan ketentuan hukum kerana Nabi SAW pernah membahagi tugas rumah tangga antara Ali dan Fatimah. Fatimah dianjurkan mengerjakan pekerjaan dalam rumah dan Ali melaksanakan pekerjaan di luar rumah.

Ada juga yang berpandangan seperti Mazhab Maliki bahawa tidak ada kewajipan melayan suami bagi seorang isteri yang memiliki kemampuan (pandai) dan kemuliaan (terpandang). Tetapi dibolehkan bagi selainnya seperti yang tidak memiliki kemampuan dan kemuliaan. Namun yang jelas, empat mazhab tetap sepakat isteri tidak diwajibkan melayani tetamu suaminya. Oleh itu, jika suami menuntut isterinya atas masalah ini ke pengadilan syariah, maka tetap isteri tidak boleh dipaksa (tidak diwajibkan) melayani suaminya. Dengan demikian jika melayani suami saja tidak diwajibkan, begitu pula dengan memberi jamuan kepada tetamu suaminya. Apalagi ketika ia sedang sakit tentu tidak diwajibkan juga.

Namun, mazhab atau pendapat yang kita anggap lebih sesuai adalah pendapat menyatakan isteri diwajibkan melaksanakan pekerjaan di rumah hanyalah sebagai wujud kesopanan atau akhlak dan untuk menjalin hubungan baik dengan suami seperti diperintahkan oleh Allah. Juga sebagai wujud keadilan dengan adanya pembahagian tugas antara suami dan isteri. Allah SWT berfirman: “Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isteri-isteri.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Maka, sangatlah adil kalau suami bekerja, memeras keringat untuk menanggung kehidupan keluarganya. Sedangkan isteri bekerja di rumah melayani kepentingan keluarga. Hal ini boleh dilihat pada diri Fatimah az-Zahra Puteri Rasulullah SAW yang tetap bekerja di rumahnya dengan membersihkan rumah, memasak serta membuat roti.

Ringankan beban

Jika isteri bekerja di luar rumah (mencari nafkah), maka sudah seharusnya suaminya turut membantu menyelesaikan pekerjaan di rumah. Apalagi jika mereka mempunyai anak yang masih kecil. Oleh itu, sebaiknya suami tidak memberatkan isterinya dengan kedatangan tetamunya terutama ketika isteri sedang sakit. Ajaran Islam pun meringankan beban setiap orang yang dilanda sakit daripada pelbagai kewajipan. Orang yang sakit dibolehkan meninggalkan jihad. Allah SWT berfirman: “Tidak ada dosa atas orang yang buta, atas orang yang tempang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berjihad (berperang).” (Surah al-Fath, ayat 17)