Posts Tagged ‘Puasa enam’

Oleh: Ustaz Muhammad Asyraf

Apabila menjelang 1 Syawal umat Islam akan bergembira menyambut Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kegembiraan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT.

Mereka telah menghadapi siang Ramadan menahan lapar, dahaga dan rangsangan nafsu syahwat. Pada malamnya mereka akan tunduk sujud kepada Allah SWT melaksanakan `qiam Ramadan’ iaitu solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid.

Maka sudah tentu mereka yang beriman dan beramal soleh ini layak untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Berlalunya Ramadan tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Pelaksanaan ibadah bukan pada Ramadan tetapi bulan lain juga kerana kehidupan manusia itu keseluruhannya adalah ibadah kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan puasa. Walaupun puasa selama sebulan Ramadan sudah tamat namun kita masih lagi diberi peluang berpuasa iaitu dengan melakukan puasa sunat antaranya puasa sunat enam hari Syawal.

Janji pengampunan

Direkodkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.”

Nabi SAW menjelaskan puasa enam hari pada Syawal pahalanya sama seperti puasa setahun secara penuh. Namun syaratnya, setelah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.

Jika puasa Ramadan, Nabi menjanjikan pengampunan dosa yang lampau maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti kita berpuasa setahun.

Berkenaan tatacara berpuasa enam hari Syawal, ada beberapa pandangan ulama. Kebanyakan ulama mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.

Maksudnya, lebih afdal seseorang itu berpuasa enam hari secara berturutturut bermula pada 2 Syawal. Pandangan ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin.

Dinukilkan daripada Ma’mar dan `Abd al-Razzak, seseorang itu tidak boleh berpuasa secara serta-merta dan berturut-turut selepas Aidilfitri kerana harihari permulaan dalam bulan Syawal adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum setelah sebulan menunaikan ibadah puasa Ramadan.

Menurut pandangan sebahagian ulama lain pula antaranya Waqi’ bin al-Jarrah iaitu guru kepada Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad bin Hanbal, puasa sunat enam Syawal yang dilakukan secara berturutturut mahupun berselang-selang adalah sama dari segi kelebihannya.

Oleh itu, seseorang yang telah berpuasa Ramadan mempunyai pilihan untuk terus berpuasa serta-merta selepas Aidilfitri secara berturut-turut atau berselang-selang selagi mana dia berada dalam Syawal.

Setelah diteliti ketiga-tiga pandangan ulama, maka dapatlah disimpulkan bahawa puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan serta-merta selepas sambutan Aidilfitri mahupun melakukannya selama enam hari pada mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Namun lebih elok jika puasa enam hari itu dipercepatkan jika tiada sebarang halangan. Jika kita tidak mampu berpuasa serta-merta, maka bolehlah kita memilih untuk berpuasa enam hari sepanjang Syawal.

Melihat suasana Aidilfitri kebanyakan masyarakat Malaysia yang akan mengadakan rumah terbuka, budaya kunjung- mengunjung ini mengambil masa berhari-hari malah ada mengadakan rumah terbuka sehingga penghujung Syawal.

Oleh itu, sesiapa yang dijemput hadir ke majlis rumah terbuka maka tidak perlulah berpuasa kerana puasa enam boleh dilakukan pada hari lain. Begitulah juga mereka yang menjemput tetamu datang ke rumah, maka seelok-eloknya mereka menjamu selera bersama-sama tetamu yang hadir.

Namun jika mereka masih mahu berpuasa maka tidaklah salah tetapi perlulah menjelaskan dengan baik kepada tuan rumah mahupun tetamu yang datang.

Utama qada puasa

Berkenaan mana lebih penting, puasa ganti atau puasa sunat, seelok-eloknya kita mempercepatkan qada dengan menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan.

Ulama membahaskan keutamaan iaitu adakah lebih perlu menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat. Majoriti ulama menyatakan, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Sebahagian ulama pula berpendapat, seseorang yang wajib menggantikan puasa seperti wanita didatangi haid perlulah mendahulukan puasa wajib iaitu mengqadakan puasa ditinggalkan sebelum melaksanakan puasa sunat Syawal.

Pada pandangan mereka, urusan wajib perlulah disegerakan dan tidak boleh didahulukan dengan urusan lain walaupun urusan berbentuk sunat.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, sebahagian ulama membenarkan mendahulukan puasa enam hari Syawal ke atas puasa ganti. Namun pengecualian itu hanya untuk puasa enam hari Syawal saja.

Perkara ini juga untuk memudahkan wanita turut sama mendapat kelebihan menunaikan puasa enam Syawal. Jika mereka mendahulukan puasa ganti kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan puasa sunat Syawal.

Pelengkap kekurangan Ramadan

ANTARA keistimewaan puasa enam Syawal adalah:

Puasanya sama seperti ganjaran berpuasa selama setahun.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim telah disebutkan Nabi SAW menjelaskan sesiapa yang berpuasa Ramadan dan menambah enam hari pada bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun. Imam Nawawi menyatakan, setiap kebaikan akan digandakan oleh Allah sebanyak sepuluh kali ganda.

Tambah beliau lagi, barang siapa melengkapkan Ramadan maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa sepanjang 10 bulan. Puasa enam hari Syawal digandakan sepuluh bersamaan 60 hari dan bersamaan dua bulan. Oleh itu, puasa Ramadan ditambah enam hari bulan Syawal sama pahalanya seperti puasa setahun.

Melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa pada Ramadan.

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyatakan, puasa enam hari Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat ketika mana seseorang itu melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Beliau mengkiaskan dengan kelebihan solat sunat rawatib sebelum mahupun selepas solat fardu yang menampung kekurangan terdapat padanya.

Supaya manusia tidak lupa menunaikan puasa sunat lain.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, manusia akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan seseorang muslim itu terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut Aidilfitri namun dengan adanya puasa sunat enam hari Syawal sekurang-kurangnya memberikannya peringatan dan motivasi untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan akan datang.

 

Advertisements

Oleh: Hizbur Rahman

SALAH satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Ini juga termasuk dalam konsep rumah terbuka.

Amalan ini memberi manfaat besar dan faedah berguna dalam konteks persaudaraan serta perpaduan ummah. Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai, susah menjadi mudah. Melalui amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan.

Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, hormat-menghormati, kerjasama dan memahami sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Islam adalah agama yang mempunyai sistem cara hidup sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu yang melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah:

Berniat baik atas kunjungannya.

Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan.

Jangan tolak undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka untuk menimbulkan kegembiraan pihak yang mengundang.

Hendaklah menolak undangan yang ada aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim serta suka membesar diri.

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ketika berkunjung hendaklah memilih waktu sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaannya waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Mohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.

Selaku tetamu adalah sangat digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah. Bagaimanapun amalan berjabat tangan ini mesti dilakukan mengikut lunas Islam.

Sabda Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”

Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.

Jaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, jangan mengangkat suara ketika berada dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziarah.

Bagi pihak tuan rumah, Islam menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya menghormati dan memuliakan tetamu. Pada masa sama, tuan rumah juga disaran menghidangkan jamuan terbaik mengikut kemampuan.

Jangan ada maksud untuk berbangga tetapi tujuannya untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting ialah menjaga cara makan minum. Mulakan dengan membaca Bismillah dan akhiri dengan Alhamdulillah.

Jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum.

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin tahu mengenai puasa enam pada Syawal ini. Apakah ia sebaik-baiknya dilakukan pada awal atau hujung Syawal? Bolehkah ustaz jelaskan pahala yang terkandung di dalam puasa enam ini?

 

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Maaidah ayat 48 yang bermaksud: “Maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan.”

Imam Ibnu Kathir pula menyebut dalam tafsirnya: “Pada ayat itu Allah SWT menganjurkan agar bersegera dan berlumba-lumba dalam membuat kebajikan.”

Ayat itu sudah menjelaskan kita sepatutnya menyegerakan puasa enam kerana melambat-lambatkan boleh membawa pelbagai masalah. Ini adalah pandangan Imam al-Syafie dan Hambali tetapi dibolehkan kita menyempurnakannya sehingga pertengahan atau akhir bulan.

Satu hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayyub, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang puasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti puasa sepanjang tahun.”

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: “Sahabat kami (Mazhab al-Syafi’i) berkata bahawa disunatkan berpuasa enam hari Syawal kerana ia ada disebutkan di dalam hadis. Mereka berpendapat, sunat berpuasa secara berturut-turut. Tetapi, jika seseorang melewat-lewatnya, ini dibolehkan kerana ia masih mengikut panduan hadis. Kami tidak mempertikaikan pandangan ini, malah ia juga pandangan Ahmad dan Abu Daud.”

Sebenarnya bukanlah menjadi syarat puasa iu dilakukan berturut-turut. Jika anda berpuasa sama ada berturut-turut atau secara berasingan, ia dibolehkan. Lebih cepat kamu menyempurnakannya, lebih baik.

Sebagai mana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 133: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu.”

Dalam surah Toha ayat 84, Allah SWT berfirman: “Dan aku bersegera kepada-Mu wahai Tuhanku, supaya Engkau reda (kepadaku).”

Tetapi sekiranya kita kebetulan menerima tetamu atau berada pada majlis makan sedangkan kita berpuasa, harus untuk kita tidak meneruskan puasa sunat tersebut.

Sebagai mana hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Juhaifah, beliau berkata: “Maka telah datang Abu Darda’ dan dia membuat sedikit makanan untuk Salman. Abu Darda’ berkata: Makanlah kerana aku berpuasa. Salman berkata: Aku tidak akan makan sehingga kamu makan. Maka Abu Darda’ pun makan…dan Salman berkata kepadanya: Tuhan-mu mempunyai hak ke atas kamu, roh kamu mempunyai hak ke atas tubuhmu dan keluargamu mempunyai hak ke atasmu. Maka berilah hak kepada mereka yang berhak. Kemudian Abu Darda’ berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda akan hal itu dan Rasulullah SAW berkata: “Salman benar.”