Posts Tagged ‘Solat’

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

APA yang perlu saya lakukan sekiranya saya terlambat bangun untuk sembahyang Subuh?

AL-HAMDULILLAH wassolatuwas salam ‘ala Rasulillah.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.”

Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam). Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.

Advertisements

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin bertanya apakah perbezaannya adab ketika bersolat, iaitu kenapakah ketika hendak rukuk, sujud dan lain-lain kita menyebut Allahuakbar tetapi ketika bangun dari rukuk kita menyebut Samiallahulimanhamidah.

NABI SAW bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu seperti kamu (mengetahui cara) aku sembahyang.”

Hakikatnya pada setiap perkataan, perbuatan, niat dalam solat yang kita lakukan itu hendaklah mengikut seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal itu bukanlah timbul melalui akal fikiran kita.

Contohnya, dalam permasalahan khuf atau memakai sarung kaki ketika musim sejuk iaitu kenapa perlu disapu bahagian atas tidak di bawah, Saidina Ali berkata: “Sekiranya agama itu dengan akal fikiran, nescaya sebelah bawah lebih patut disapu berbanding sebelah atas khuf (sarung kaki). Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW menyapu pada sebelah atas kedua-dua khuf (sarung kaki).

Mengenai ucapan Samiallahualimanhamidah ketika bangun dari rukuk, ada hadis yang menyebut mengenainya.

Antaranya iaitu riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Adalah Rasulullah SAW apabila Baginda mendirikan solat, Baginda bertakbir (mengucap Allahuakbar) ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika rukuk, kemudian Baginda mengucapkan samiallahulimanhamidah, ketika mengangkat belakangnya daripada rukuk, kemudian Baginda mengucapkan ketika berdiri (iktidal), “Rabbana wa lakal hamd.”

Kemudian bertakbir ketika Baginda turun sujud. Kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya. Kemudian Baginda melakukan seperti itu pada seluruh solatnya dan Baginda bangun dari dua rakaat sesudah duduk (tasyahud awal).

Erti “Samiallahualiman hamidah” adalah: Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya. Dalam kitab Bujairimi ‘Ala Khatib, pada juzuk ke 2, halaman 57 menyebut [yang bermaksud]: Dan sebab mengenai Samiallahuliman hamidah, bahawa Abu Bakar as-Siddiq tidak pernah tertinggal solat di belakang Rasulullah SAW sekali pun. Maka pada suatu hari beliau datang pada solat Asar.

Beliau menyangka bahawa akan terlepas rakaat solat bersama Rasulullah SAW, maka beliau pun berdukacita dan tergesa-gesa masuk ke masjid. Lalu didapatinya, Baginda sedang bertakbir untuk rukuk, maka beliau mengucapkan Alhamdulillah dan beliau bertakbir di belakang Rasulullah SAW. Maka turunlah Jibril sedangkan ketika itu Baginda dalam keadaan rukuk. Jibril berkata, “Wahai Muhammad, sudah mendengar Allah orang yang memujimu, maka katakanlah Samiallahulimanhamidah [Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya).

Dalam riwayat lain menyatakan: “Jadikanlah ia dalam sembahyangmu, maka diucapkan Baginda ketika bangun daripada rukuk. Dan sebelum kejadian itu, turun untuk rukuk dengan takbir dan bangun daripada rukuk juga dengan takbir. Maka jadilah ia suatu sunnah dengan berkat Abu Bakar as-Siddiq. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin tahu, apakah kisah atau iktibar di sebalik penetapan jumlah rakaat solat seperti solat Maghrib tiga rakaat selain solat fardu yang lain?

Ketentuan rakaat solat lima waktu adalah sebagai berikut iaitu Subuh dua rakaat, Zuhur (4), Asar (4), Maghrib (3) dan Isyak, 4 rakaat. Mengenai ketentuan atau ketetapan ini sudah tentu mengandungi hikmah dan ada rahsianya, sama ada ia diketahui oleh kita ataupun tidak.

Antara hikmah penetapan dua rakaat untuk solat Subuh, adalah kerana waktu Subuh itu adalah masa yang mana manusia baru saja bangun tidurnya dan kadang-kadang mengantuk masih mempengaruhinya. Pada masa sama, rasa malas juga belum hilang, maka Allah ringankan waktu Subuh itu dengan menentukannya dua rakaat saja, namun tidak diringankan bagi waktu solat yang lain.

Bagi Zuhur dan Asar adalah kerana pada kedua waktu itu, semangat dan kesegaran masih melimpah maka ditentukan untuk kedua-dua waktunya dengan masing-masing empat rakaat.

Manakala hikmah solat Maghrib itu tiga rakaat adalah sebagai isyarat Maghrib itu adalah ‘witir siang.’ Dan Isyak ditetapkan empat rakaat yang rahsianya bagi menampung kekurangan malam daripada siang. Ini disebabkan pada waktu malam ada dua fardu saja sedangkan siang ada tiga fardu.

Dalam lima waktu solat itu, kita boleh membuat pengkelasan berdasarkan jumlah rakaat solat iaitu Tsunaiyah (merujuk dua) iaitu solat Subuh, Thulatsiyyah (yang merujuk tiga) iaitu solat Maghrib serta Ruba’iyah (merujuk empat) ada tiga iaitu solat Zuhur, solat Asar dan solat Isyak. Dan tiada rakaat lain selain yang dinyatakan tadi.

Bilangan dua, tiga dan empat ini adalah sesuai dengan ciptaan Allah SWT iaitu sayap malaikat ada yang dua, ada yang tiga dan ada yang empat sebagai mana firman Allah yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap dua, tiga dan empat. Ia menambah bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya. Sesungguhnya Allah berkuasa menciptakan sesuatu.” Surah Fathir ayat 1

Maka dengan sayap inilah malaikat berkenaan dapat menuju al-Maianul A’la (makam yang lebih tinggi) sebagai mana yang dijadikan untuk Bani Adam ini solatnya dua rakaat, tiga rakaat dan empat rakaat laksana sayap malaikat, maka sampailah mereka dengan rakaatnya ini kepada Allah SWT.

Inilah hikmat yang pernah diutarakan oleh para ulama, antaranya sebagai mana yang dinyatakan dalam kitab Hasyiah Bajuri, juz 1, halaman 118 dengan maksud terjemahannya: “Dan hikmah Subuh itu dua rakaat, adalah kekalnya malas disebabkan tidur. Dan hikmah keadaan setiap satu daripada solat Zuhur dan Asar, masing-masing empat rakaat, adalah kerana melimpah kegiatan (semangat) pada waktu kedua-duanya.

Dan hikmah waktu Maghrib itu ditetapkan tiga rakaat, menunjukkan bahawa solat Maghrib itu adalah witirnya siang. Dan hikmah keadaan Isyak itu empat rakaat, ialah bagi menampung semua kekurangan malam daripada siang.”

Pada waktu malam itu cuma ada dua (solat) fardu manakala pada siang ada tiga solat fardu. Apatah lagi sesungguhnya sudah menjadikan Allah bagi malaikat akan sayap serba dua, serba tiga, serba empat.

Maka sampailah mereka itu kepada makam yang tinggi dengan sayap berkenaan. Maka Allah menjadikan bagi anak Adam itu akan solat, ada yang dua rakaat, ada yang tiga rakaat, ada yang empat rakaat, seperti sayap malaikat, supaya mereka sampai dengan solat yang dikerjakan untuk Allah SWT.

Sebenarnya masih banyak hikmah yang terkandung dalam segala perintah, segala apa yang ditentukan Allah SWT baik mengenai kejadian ataupun hukum-Nya.

Tetapi apa yang dapat kita rasakan dan ketahui dari hikmah itu, tidaklah boleh kita menganggap itulah saja menjadi rahsianya. Namun hakikatnya hanya Allah SWT saja yang mengetahuinya. Dan hikmah itu ada kalanya dengan jalan Kasyaf. Ini disebabkan ada di antara mereka dinamakan Muhaddats, yang mana dibukakan kepada mereka sebahagian daripada rahsia kejadian dan syariat. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH hukumnya jika seseorang itu sujud lama semata-mata untuk berdoa kepada Allah SWT ketika rakaat terakhir sedangkan dia masih solat berjemaah bersama imam?

DALAM solat berjemaah, seseorang makmum wajib mengikuti pergerakan ataupun rukun fi’li yang dikerjakan imamnya. Perkara ini dinamakan sebagai mutaba’ah.

Mengikut yang dimaksudkan adalah permulaan perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam dan imam pula terlebih dulu selesai daripada makmum. Sekiranya makmum terlambat mengikut imam dengan satu rukun, hukumnya adalah makruh.

Begitu juga sekiranya makmum terlambat mengikut imam daripada dua rukun yang panjang, seperti imam sudah mengerjakan rukuk, iktidal kemudian sujud dan bangkit daripadanya, sedangkan makmum masih berdiri tanpa sebarang keuzuran, maka batal solatnya.

Tetapi, jika kelambatan makmum disebabkan keuzuran dimaafkan seperti bacaannya lambat, maka syarak membenarkan untuknya ketinggalan tiga rukun yang panjang.

Namun, jika dia masih lambat, maka wajib mengikuti perbuatan imam dan meninggalkan perbuatan sedang dilakukannya. Kemudian hendaklah menambah kembali rakaat yang tertinggal selepas imam memberi salam.

Oleh: Ustaz Zahazan Muhamed

APAKAH benar salah satu waktu doa yang paling mustajab adalah ketika sujud terakhir ketika solat? Adakah solat yang dinyatakan itu solat sunat atau solat fardu? Jika benar adakan boleh saya berdoa dalam bahasa Melayu dan jika masa untuk saya berdoa agak panjang tidakkah ia menjejaskan sah solat saya.

BAGI soalan pertama, Allah SWT berfirman dalam ayat 19 surah al-‘Alaq: Was jud waq tarib (dan sujudlah dan hampirlah dirimu kepada Allah SWT). Sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Yang paling hampir di antara seorang hamba dengan Tuhannya iaitu ketika ia sujud, maka banyakkan doa.” (Muslim no.482).

Sekiranya saudara ingin berdoa ketika sujud, cukuplah dalam hati. Apabila saudara melafazkan dalam bahasa selain bahasa Arab, maka ia membawa kepada batalnya solat. Kedua, sekiranya saudara dalam solat berjemaah, pastikan saudara tidak terlalu lama sehingga terputusnya dengan imam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya dijadikannya imam itu tidak lain semata-mata untuk diikuti. Jika imam takbir, maka takbirlah kamu, dan janganlah kalian mendahului takbir sehingga imam itu takbir. Jika imam rukuk, barulah kamu rukuk dan janganlah kalian mendahului rukuknya imam, sehingga imam itu rukuk. Dan jika imam mengucapkan ‘Sami’allahuliman hamidah,’ maka bacalah kamu ‘Allaahumma rabbanaa lakal hamdu,’ dan jika imam sujud barulah kamu sujud dan janganlah kamu sujud mendahului imam sehingga imam itu sujud. Dan jika imam itu solat berdiri, maka kalian pun harus solat berdiri. Jika imam solat duduk maka kamu hendaklah solat duduk semuanya.” (Riwayat Abu Daud no.603). Wallahualam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA pernah mendengar pelbagai pandangan mengenai menyapu muka sesudah memberi salam.

Adakah ia diperintah atau sebaliknya? Boleh ustaz jelaskan dan berikan sumber hadis atau Quran.

SAYA suka memetik buku yang dikarang dan disusun Zaharuddin Abdul Rahman iaitu Formula Solat Sempurna.

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadis berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’

Hadisnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari)

Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadis itu ialah:

Nabi Muhammad SAW tidak menyapu dahi ketika solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air.

Nabi Muhammad SAW juga tidak menyapu dahi Baginda selepas solat dan kalaulah ada ihtimal selepas solat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.

Oleh itu, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan solat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya Nabi Muhammad SAW tidak melakukannya.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Syafi’I pula mengatakan, jika Nabi SAW melakukannya pun, maka ia bertindak menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda yang termasuk dalam Bab Jibilliyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. (Fath al-Bari)

Namun, menurut ulama dalam mazhab Shafie, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis:

“Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa, ‘Ashadua an la ilaha illallah ar Rahmanar Rahiim. Allahumma azhib ‘annil hammi wal aza’ (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan), ” (Riwayat al-Tabarani)

Al-Haitami memberikan ulasannya mengenai hadis pertama dengan katanya: “Ia diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Bazzar dengan sanad yang ada Zaid al-‘Ama, beberapa ulama men’thiqah’inya (dipercayai) dan dianggap daif (lemah) oleh majoriti atau ramai orang.”

Baki perawi al-Tabarani pula dipercayai dan sebahagian yang lain diperdebatkan (Majma al-Zawaid).

Satu lagi hujah yang digunakan ialah (daripada Qatadah): “Sesungguhnya Baginda sudah menyapu dahinya apabila tamat daripada solat sebelum memberi salam.” (Musannaf Abd Razzaq)

Menurut ulama Syafie seperti dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin walaupun hadis ini daif (lemah), ia masih digalakkan kerana termasuk dalam kategori fadhail al-‘amal iaitu kelebihan amalan

Namun, amalan ini tidak ditemui dalam kitab muktamad Mazhab Shafie seperti al-Umm, Rawdah al-Talibin, Tuhfatul Muhtaj, Nihayatul Muhtaj dan Mughni Muhtaj.

Justeru, menisbahkan pendapat untuk menyapu muka selepas sembahyang kepada mazhab Shafie masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Shafie dan bukan pendapat mazhab. Wallahua’lam

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH hukum seseorang yang sembahyang dalam keadaan dia menahan buang angin? Adakah solatnya batal?

SYARAT sah solat mestilah terpelihara daripada perkara yang membatalkan wuduknya. Satu perkara yang membatalkan wuduk ialah membuang angin atau terkentut. Jika ia menahan sehingga angin tidak keluar maka wuduknya tetap sah. Justeru, usahanya menahan angin itu sendiri tidak membatalkan solatnya. Imam Ahmad dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (perlu mengulangi) wuduk kecuali kerana ada suara (buang angin) atau mendengar bunyi angin (kentut).”

Imam Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika seorang daripada kamu berasakan ada angin (ketika dia ada) dalam masjid, maka janganlah dia keluar (untuk berwuduk), kecuali apabila dia mendengar bunyi atau menemukan angin.”

Memang solat seseorang yang menahan angin atau air kecil dan besar dihukumkan makruh oleh ulama kerana keadaan demikian sudah tentu mengganggu soal khusyuk dirinya. Akan tetapi perkara ini tidaklah sampai membatalkan solat. Wallahualam.