Posts Tagged ‘sunnah Rasulullah’

Oleh: UstazĀ Zahazan Mohamed

Saya mempunyai seorang kawan yang sering mengadu masalah rumah tangganya kepada saya. Rumah tangganya telah hilang kasih sayang, suami sering memaki hamun di depan anak. Ada kala disebabkan perkara kecil beliau ditampar. Kenapakah begitu? Lagi satu, saya ingin bertanya adakah Allah menciptakan wanita dan lelaki untuk bersaing kerana hari ini lelaki dan wanita saling berlumba seolah-olah hendak menunjukkan siapa lebih hebat.

Orang yang mahu merenung al-Quran, nescaya ia akan mendapati bahawa al-Quran menegakkan kehidupan rumah tangga di atas tiang-tiang yang kukuh berupa sakinah, mawaddah dan rahmah (ketenteraman, cinta dan kasih sayang).

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Al-Quran juga mengungkapkan hubungan suami isteri melalui ungkapan bermaksud: “Mereka itu adalah pakaian (libas) bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Saling memerlukan

Jika kita melihat kandungan makna libas (pakaian), antaranya menutup, melindungi, menghangatkan, menghiasi (perhiasan) yang saling diberikan oleh masing-masing kepada pihak lain (dalam konteks ini suami dan isteri).

Sesungguhnya keperluan suami kepada isteri dan keperluan isteri kepada suami adalah keperluan fitrah (naluri). Allah SWT telah menciptakan mereka dalam keadaan saling memerlukan antara satu sama lain.

Menurut pandangan Islam seperti dijelaskan oleh al-Quran, wanita bukanlah musuh lelaki. Begitu juga lelaki bukan musuh atau lawan bagi wanita, bahkan masing-masing adalah pelengkap bagi yang lainnya. Dan yang salah satunya tidak akan sempurna hidupnya tanpa yang satu lagi.

Tak boleh cela, maki isteri

Inilah maksud firman Allah: “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.” (Surah Ali-Imran, ayat 195)

Islam sekali-kali tidak menerima jika kehidupan rumah tangga ditegakkan atas penghinaan terhadap kaum wanita atau dilandaskan sikap buruk terhadap mereka sama ada dengan perkataan dan perbuatan.

Oleh sebab itu, dengan alasan apa pun suami tidak boleh mencela dan mencaci maki isteri, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anaknya. Terhadap binatang pun Islam tidak benarkan bersikap kejam apalagi terhadap isteri yang juga pendidik dan pemelihara rumah tangga, teman hidup serta ibu.

Islam sangat ketat dalam masalah memukul. Maka tidak dibolehkan sama sekali memukul wanita kecuali dalam keadaan darurat, iaitu ketika nusyuz (derhaka kepada suami) dan melanggar perintah suami.

Meskipun ada kelonggaran seperti ini di masa darurat, perlu diingat bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang yang baik di antara kamu tidak akan memukul (isterinya).” Wallahualam.

Advertisements

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

ASSALAMUALAIKUM Ustaz Zahazan. Alhamdulillah, isteri saya mengandung lima bulan dan ini anak pertama kami. Cuma saya agak jahil apa patut dilakukan seorang bapa apabila anak lahir, maksud saya mengikut cara Islam. Saya juga agak keliru kerana ada mengatakan azan anak lelaki di telinga sebelah kanan dan anak perempuan sebelah kiri. Terima kasih.

 

ALHAMDULILLAH Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;

Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah. Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab beliau, Tuhfatul Maudud bi ahkamil Maulud, iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”

Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu. Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi. Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

Oleh: UstazĀ  Zahazan Mohamed

SAYA ingin mengetahui apakah doa dan zikir untuk mendapatkan perlindungan dan pertolongan daripada Allah?

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam `ala Rasulillah waba’du. Dalam surah al-A’raf ayat 200, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut dengan hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Merahmati.”

Maksud minta perlindungan atau isti’azah di sini adalah ucapan, A’uzubillahi minasy syaitanir rajim. Maksudnya, Aku memohon perlindungan diri kepada-Mu daripada (gangguan) syaitan yang direjam. Dalam satu hadis riwayat Ahmad, hendaklah sesudah itu meludah ke kiri sebanyak tiga kali.

Antara amalan untuk menghalau syaitan dan bisikannya adalah:

Pertama, berlindung kepada Allah SWT daripada godaannya dengan menyebut a’uzubillahi minasy syaitanir rajim,

Kedua, menyerukan azan,

Ketiga, berzikir dan membaca al-Quran.

Ketika hendak membaca al-Quran juga disuruh untuk kita isti’azah (mohon perlindungan). Allah SWT menyebut dalam surah al-Nahl ayat 98 yang bermaksud: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.”

Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa melindungi al-Hasan dan al-Husain dengan mengucapkan: U’izukuma bikalimaatillahit taammati min kulli syaitanin wahaammatin wamin kulli ‘ainin laammah. Maksudnya, Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna dan segala syaitan, binatang berbisa dan setiap mata yang jahat.

Dalam surah Ali Imran ayat 36, Allah SWT menceritakan mengenai ibu Maryam berdoa ketika Maryam dilahirkan dengan doanya: U’izuha bika wazurriyataha minas syaitanir rajim. Maksudnya, Aku perlindungkan dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam.

Doa berkenaan elok untuk kita amalkan agar anak yang dilahirkan aman dari gangguan jahat syaitan. Ayat penuhnya adalah seperti berikut yang bermaksud: Maka apabila ia (ibu Maryam) melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).”

Ketika bertemu dengan musuh, Rasulullah SAW mengajar untuk berdoa dengan doa berikut: Allahumma Inna naj’aluka fi nuhurihim wa na’uzubika min syururihim. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan Engkau ada di leher mereka supaya mereka tidak berdaya ketika berhadapan dengan kami] dan kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan mereka.

Dan, ketika dalam keadaan jiwa tidak tenteram, Rasulullah SAW mengajar doa berikut: Allahumma inni A’uzubika minal hammi wal hazni wal `ajzi wal kasali wal Bukhli wal jubni wa dhola’id daini waghalabatir rijal. Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari duka dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kebakhilan dan penakut, bebanan hutang dan penindasan orang.”

Kepada saudara yang bertanya, sebenarnya banyak lagi doa pelindung yang diajar oleh Rasulullah SAW agar terpelihara daripada sebarang keburukan dan perkara yang tidak baik. Saya mencadangkan saudara dapatkan buku saya yang bertajuk 101 Doa Daripada Hadis Yang Sahih, Insya-Allah jika diamalkan dalam kehidupan akan mendatangkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup saudara. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

KEBIASAANNYA kita mendengar anak hendaklah menunaikan hak ibu bapa. Persoalan saya adakah anak mempunyai hak untuk ibu bapa tunaikan?

Alhamdulillah. Wassolatu wassalam `ala Rasulillah waba’du. Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.

Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.

Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.

Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.

Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.

Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.

Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.

Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.

Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA ingin bertanya apakah perbezaannya adab ketika bersolat, iaitu kenapakah ketika hendak rukuk, sujud dan lain-lain kita menyebut Allahuakbar tetapi ketika bangun dari rukuk kita menyebut Samiallahulimanhamidah.

NABI SAW bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu seperti kamu (mengetahui cara) aku sembahyang.”

Hakikatnya pada setiap perkataan, perbuatan, niat dalam solat yang kita lakukan itu hendaklah mengikut seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal itu bukanlah timbul melalui akal fikiran kita.

Contohnya, dalam permasalahan khuf atau memakai sarung kaki ketika musim sejuk iaitu kenapa perlu disapu bahagian atas tidak di bawah, Saidina Ali berkata: “Sekiranya agama itu dengan akal fikiran, nescaya sebelah bawah lebih patut disapu berbanding sebelah atas khuf (sarung kaki). Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW menyapu pada sebelah atas kedua-dua khuf (sarung kaki).

Mengenai ucapan Samiallahualimanhamidah ketika bangun dari rukuk, ada hadis yang menyebut mengenainya.

Antaranya iaitu riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah (yang bermaksud): “Adalah Rasulullah SAW apabila Baginda mendirikan solat, Baginda bertakbir (mengucap Allahuakbar) ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika rukuk, kemudian Baginda mengucapkan samiallahulimanhamidah, ketika mengangkat belakangnya daripada rukuk, kemudian Baginda mengucapkan ketika berdiri (iktidal), “Rabbana wa lakal hamd.”

Kemudian bertakbir ketika Baginda turun sujud. Kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya. Kemudian Baginda melakukan seperti itu pada seluruh solatnya dan Baginda bangun dari dua rakaat sesudah duduk (tasyahud awal).

Erti “Samiallahualiman hamidah” adalah: Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya. Dalam kitab Bujairimi ‘Ala Khatib, pada juzuk ke 2, halaman 57 menyebut [yang bermaksud]: Dan sebab mengenai Samiallahuliman hamidah, bahawa Abu Bakar as-Siddiq tidak pernah tertinggal solat di belakang Rasulullah SAW sekali pun. Maka pada suatu hari beliau datang pada solat Asar.

Beliau menyangka bahawa akan terlepas rakaat solat bersama Rasulullah SAW, maka beliau pun berdukacita dan tergesa-gesa masuk ke masjid. Lalu didapatinya, Baginda sedang bertakbir untuk rukuk, maka beliau mengucapkan Alhamdulillah dan beliau bertakbir di belakang Rasulullah SAW. Maka turunlah Jibril sedangkan ketika itu Baginda dalam keadaan rukuk. Jibril berkata, “Wahai Muhammad, sudah mendengar Allah orang yang memujimu, maka katakanlah Samiallahulimanhamidah [Sudah mendengar Allah orang yang memuji-Nya).

Dalam riwayat lain menyatakan: “Jadikanlah ia dalam sembahyangmu, maka diucapkan Baginda ketika bangun daripada rukuk. Dan sebelum kejadian itu, turun untuk rukuk dengan takbir dan bangun daripada rukuk juga dengan takbir. Maka jadilah ia suatu sunnah dengan berkat Abu Bakar as-Siddiq. Wallahua’lam.

Oleh : Ustaz Zahazan Mohamed

BOLEHKAH ustaz memberi penjelasan mengenai sambutan Aidilfitri seperti ditetapkan agama kita? Selain saling bermaafan, apakah lagi bentuk amalan lain yang boleh dilakukan? Bagaimana dengan amalan menitikberatkan soal pemberian duit raya yang keterlaluan, sehingga meneng-gelamkan maksud Syawal yang sebenarnya. Apakah hukum memberi duit raya mengikut Islam?

MENGKAJI sejarah Aidilfitri dan Aidiladha, ulama hadis menerangkan sebuah riwayat dari Anas bin Malik, apabila Nabi SAW sampai ke Madinah, orang-orang Ansar merayakan dua hari perayaan iaitu Nairus dan Mahrajan. Menurut penjelasan dari kitab Aunul Ma’bud kedua-dua hari mereka bergembira ini ditetapkan oleh pihak berkuasa pada masa itu. Lalu Nabi SAW dengan wahyu dari Allah SWT sudah menukarkan kedua-duanya kepada Aidilfitri dan Aidiladha. Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepadamu sedangkan kamu menyambut dua hari raya yang menjadi hari kamu bergembira pada zaman jahiliah, maka Allah SWT sudah menggantikannya kedua-duanya dengan Aidilfitri dan Aidiladha.”

Menurut Syeikh Ahmad Ab Rahman al-Banna, maksud gantian ini disyariatkan oleh Allah SWT kerana kedua-duanya berkaitan secara langsung selepas pelaksanaan dua rukun Islam yang penting iaitu ibadat puasa selama sebulan sepanjang Ramadan dan haji yang dilakukan pada waktunya. Penetapan ini turut mengambil kira kecenderungan hamba-Nya yang gemar bergembira, maka dianugerahkan kegembiraan itu. Anugerah itu diberikan selepas berusaha sedaya upaya mentaati-Nya.

Dalam hadis yang lain yang turut mengukuhkan aspirasi raya sebagai suatu kegembiraan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bagi setiap Muslim yang berpuasa baginya dua kegembiraan iaitu kegembiraan bila dia berbuka dan kegembiraan bertemu dengan Allah SWT (Riwayat Muslim). Maksud berbuka dalam maksud yang lebih luas seperti yang difahami sebahagian ulama adalah berhari Raya.

Antara amalan yang menjadi amalan Nabi SAW dalam menyambut hari raya adalah seperti berikut:

Menghadiri Solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dan mendengar khutbah. Al-Imam al-Syaukani menjelaskan dalam Nailul Awtar, Nabi SAW sentiasa mengerjakan solat sunat berkenaan dan tidak pernah meninggalkannya. Malah baginda telah memerintahkan umatnya untuk mengerjakannya, termasuk hamba dan wanita yang haid pun digalakkan untuk menyaksikan solat itu dikerjakan oleh umat Islam.

Mandi sebelum solat Sunat Aidilfitri. Menurut Said bin al-Musayyib mengatakan, sunnah sebelum solat itu ia merangkumi tiga perkara iaitu mandi sebelum solat sunat Aidilfitri, makan sebelum pergi solat dan pergi dengan berjalan kaki. (Riwayat al-Firyabi dengan sanad yang sahih seperti yang dijelaskan dalam Irwaul Ghalil)

Berhias diri dengan cara yang dibenarkan tanpa mendedahkan aurat dan memakai pakaian dari buatan yang diharamkan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathil Bari bahawa sahabat seperti Ibn Umar akan memakai pakaian yang paling baik pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Maka menjadi suatu yang dituntut agar umat Islam memakai pakaian yang elok pada kedua hari ini. Bagaimanapun hendaklah dijauhi pakaian-pakaian yang dibuat dari bahan yang haram seperti sutera kerana dalam sebuah hadis yang lain apabila Umar memberikan untuk nabi pakaian dari sutera untuk dipakai pada hari Raya, maka Nabi SAW dengan tegasnya bersabda: “Pakaian ini adalah pakaian untuk orang yang tidak berakhlak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Makan sedikit sebelum pergi ke tempat solat. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi SAW tidak akan berangkat ke tempat solat pada hari Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma terlebih dulu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Memperbanyakkan takbir. Menurut sebuah riwayat dari Ibn Abi Syaibah dari Musannafnya Nabi SAW akan berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha, dan baginda akan bertakbir hingga sampai ke tempat solat, malah akan sibuk bertakbir dengan nyaring hingga solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha itu. Baginda Cuma akan berhenti sejurus sebelum memulakan solat sunat berkenaan.

Mengucapkan tahniah kepada setiap Muslim yang ditemui dengan ucapan: “TaqabbalalLahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amal salih yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Kata Ibn Hajar dalam kitabnya al-Mahamiliyyat dan Fathul Bari, ini adalah ucapan selamat yang paling sahih yang ditemui dalam riwayat-riwayat dari Nabi SAW.

Berkaitan dengan perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dengan memberikan wang pada hari Raya ia hanyalah suatu amalan tradisi yang harus dilakukan.

Ini bergantung kepada niat seseorang, sama ada dia menghulurkan wang itu sebagai hadiah ataupun sedekah. Apa juga niat yang disematkan moga-moga ia termasuk dalam kebajikan yang dinyatakan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Menurut Ibn Kathir dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir sebuah riwayat dari Muqatil bin Hayyan, ayat ini menjelaskan keutamaan infaq ataupun belanja, saluran manakah yang harus diutamakan. Ayat ini ditutup dengan ingatan bahawa segala kebaikan yang dikerjakan, pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-Nya, meskipun kebaikan itu hanyalah sebesar zarah saja.

Cuma penting bagi ibu bapa agar menjelaskan kepada generasi anak-anak kepentingan menjadi insan yang mulia yang menjauhi budaya meminta-minta. Mereka perlu diperjelaskan tentang ingatan Nabi SAW yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

SAYA pernah mendengar pelbagai pandangan mengenai menyapu muka sesudah memberi salam.

Adakah ia diperintah atau sebaliknya? Boleh ustaz jelaskan dan berikan sumber hadis atau Quran.

SAYA suka memetik buku yang dikarang dan disusun Zaharuddin Abdul Rahman iaitu Formula Solat Sempurna.

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadis berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’

Hadisnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari)

Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadis itu ialah:

Nabi Muhammad SAW tidak menyapu dahi ketika solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air.

Nabi Muhammad SAW juga tidak menyapu dahi Baginda selepas solat dan kalaulah ada ihtimal selepas solat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.

Oleh itu, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan solat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya Nabi Muhammad SAW tidak melakukannya.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Syafi’I pula mengatakan, jika Nabi SAW melakukannya pun, maka ia bertindak menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda yang termasuk dalam Bab Jibilliyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. (Fath al-Bari)

Namun, menurut ulama dalam mazhab Shafie, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis:

“Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa, ‘Ashadua an la ilaha illallah ar Rahmanar Rahiim. Allahumma azhib ‘annil hammi wal aza’ (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan), ” (Riwayat al-Tabarani)

Al-Haitami memberikan ulasannya mengenai hadis pertama dengan katanya: “Ia diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Bazzar dengan sanad yang ada Zaid al-‘Ama, beberapa ulama men’thiqah’inya (dipercayai) dan dianggap daif (lemah) oleh majoriti atau ramai orang.”

Baki perawi al-Tabarani pula dipercayai dan sebahagian yang lain diperdebatkan (Majma al-Zawaid).

Satu lagi hujah yang digunakan ialah (daripada Qatadah): “Sesungguhnya Baginda sudah menyapu dahinya apabila tamat daripada solat sebelum memberi salam.” (Musannaf Abd Razzaq)

Menurut ulama Syafie seperti dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin walaupun hadis ini daif (lemah), ia masih digalakkan kerana termasuk dalam kategori fadhail al-‘amal iaitu kelebihan amalan

Namun, amalan ini tidak ditemui dalam kitab muktamad Mazhab Shafie seperti al-Umm, Rawdah al-Talibin, Tuhfatul Muhtaj, Nihayatul Muhtaj dan Mughni Muhtaj.

Justeru, menisbahkan pendapat untuk menyapu muka selepas sembahyang kepada mazhab Shafie masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Shafie dan bukan pendapat mazhab. Wallahua’lam