Posts Tagged ‘tanggungjawab isteri’

Oleh: Dr Zahazan Mohamed

Bagaimana sekiranya seorang isteri menolak ajakan suaminya dan memberikan tawaran kebendaan, sedangkan suaminya memenuhi segala keperluan diperlukan oleh isteri?

Sekiranya si isteri menolak ajakan suaminya dengan alasan hendak menunaikan solat Subuh, adakah dia dikira berdosa kerana dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Isteri-isterimu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”

Jika isteri suka meremehkan kehendak suami, patutkah suami berkahwin lagi?

Ingin tahu

Selangor

 Allah memerintahkan isteri untuk mentaati perintah suami dan Dia memberikan kepada suami hak yang sangat besar terhadap isterinya.

Nabi juga menjelaskan betapa besarnya hak ini sebagaimana hadis riwayat Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah RA yang mengatakan Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jika aku berkuasa untuk memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada seseorang, nescaya akan aku perintahkan wanita bersujud kepada suaminya.”

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Jika seseorang perempuan menolak ajakan suaminya (untuk berhubung badan), maka malaikat akan melaknatnya sampai pagi hari.”

Akad pernikahan adalah akad yang menghalalkan kemaluan perempuan dengan balasan memberikan segala keperluan kepadanya sama ada ia nafkah zahir mahupun batin.

Selama suami masih memenuhi kewajipannya terhadap isteri seperti memberi makan, tempat tinggal dan pakaian, maka isteri wajib mematuhi suaminya. Tiada alasan baginya untuk memberikan penawaran atas kewajipannya.

Daripada penjelasan itu, tindakan isteri yang melarang suaminya dan memberikan tawaran kebendaan atas penolakannya adalah haram. Dia melanggar peraturan yang ditetapkan Allah dan wajib menjauhi perbuatan itu.

Seterusnya, mendirikan solat pada waktunya adalah satu perintah yang wajib dikerjakan sementara mengerjakannya pada waktu lain adalah satu bentuk kemaksiatan.

Suami wajib memberikan kelapangan bagi isteri untuk melakukan solat Subuh pada waktunya. Tiada larangan antara memberikan kelapangan kepada isteri untuk melakukan solat Subuh pada waktunya dengan ayat al-Quran ditanyakan itu (ayat 223 daripada surah al-Baqarah).

Dapat kita ketahui makna ayat itu juga adalah pada waktu yang dikehendaki. Namun, waktu itu tidak menjadikan kamu terlambat melakukan kewajipan diperintahkan Allah seperti meninggalkan solat dan seumpamanya.

Hubungan badan boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan masih banyak waktu untuk melakukannya sehingga tidak bertembung dengan waktu solat.

Seorang isteri hendaklah menunjukkan rasa ghairahnya dengan suami dan si suami jangan cepat berkahwin dengan wanita lain sebelum dia memberikan nasihat kepada isteri berulang kali. Jika si isteri sentiasa meremehkan ajakan suami dan tiada tanda berubah, barulah suami berhak berkahwin dengan wanita lain atau menceraikannya dengan cara baik sebagaimana diajarkan oleh Islam.

Sebarang pertanyaan sila e-mel kepada: rencana@hmetro.com.my

Penulis ialah pendakwah

( END )

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Adakah isteri wajib melayan suami seperti memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah dan sebagainya sedangkan saya juga bekerja. Baru-baru ini, kawan-kawan suami saya datang ke rumah, tetapi saya tidak dapat menyediakan jamuan untuk tetamu yang datang disebabkan saya demam. Terpaksalah suami saya menyediakan semuanya dan ini membuatkan saya rasa bersalah. Adakah saya dikira derhaka kepada suami.

Menurut pendapat masyhur kalangan empat mazhab, seorang isteri tidak diwajibkan melayani suaminya iaitu menyediakan makan, mencuci pakaian dan seumpamanya. Sean-dainya isteri melakukannya, ia hanyalah sebagai kesopanan atau akhlak mulia terhadap suami. Bukan kerana kewajipannya. Namun, dalam menentukan -batasnya, be-berapa mazhab berselisih pendapat.

Bahagi tugas rumah tangga

Antaranya, Mazhab Hanafi mengatakan layanan wajib dilakukan isteri adalah dalam bentuk galakan agama bukan ketentuan hukum kerana Nabi SAW pernah membahagi tugas rumah tangga antara Ali dan Fatimah. Fatimah dianjurkan mengerjakan pekerjaan dalam rumah dan Ali melaksanakan pekerjaan di luar rumah.

Ada juga yang berpandangan seperti Mazhab Maliki bahawa tidak ada kewajipan melayan suami bagi seorang isteri yang memiliki kemampuan (pandai) dan kemuliaan (terpandang). Tetapi dibolehkan bagi selainnya seperti yang tidak memiliki kemampuan dan kemuliaan. Namun yang jelas, empat mazhab tetap sepakat isteri tidak diwajibkan melayani tetamu suaminya. Oleh itu, jika suami menuntut isterinya atas masalah ini ke pengadilan syariah, maka tetap isteri tidak boleh dipaksa (tidak diwajibkan) melayani suaminya. Dengan demikian jika melayani suami saja tidak diwajibkan, begitu pula dengan memberi jamuan kepada tetamu suaminya. Apalagi ketika ia sedang sakit tentu tidak diwajibkan juga.

Namun, mazhab atau pendapat yang kita anggap lebih sesuai adalah pendapat menyatakan isteri diwajibkan melaksanakan pekerjaan di rumah hanyalah sebagai wujud kesopanan atau akhlak dan untuk menjalin hubungan baik dengan suami seperti diperintahkan oleh Allah. Juga sebagai wujud keadilan dengan adanya pembahagian tugas antara suami dan isteri. Allah SWT berfirman: “Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isteri-isteri.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Maka, sangatlah adil kalau suami bekerja, memeras keringat untuk menanggung kehidupan keluarganya. Sedangkan isteri bekerja di rumah melayani kepentingan keluarga. Hal ini boleh dilihat pada diri Fatimah az-Zahra Puteri Rasulullah SAW yang tetap bekerja di rumahnya dengan membersihkan rumah, memasak serta membuat roti.

Ringankan beban

Jika isteri bekerja di luar rumah (mencari nafkah), maka sudah seharusnya suaminya turut membantu menyelesaikan pekerjaan di rumah. Apalagi jika mereka mempunyai anak yang masih kecil. Oleh itu, sebaiknya suami tidak memberatkan isterinya dengan kedatangan tetamunya terutama ketika isteri sedang sakit. Ajaran Islam pun meringankan beban setiap orang yang dilanda sakit daripada pelbagai kewajipan. Orang yang sakit dibolehkan meninggalkan jihad. Allah SWT berfirman: “Tidak ada dosa atas orang yang buta, atas orang yang tempang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berjihad (berperang).” (Surah al-Fath, ayat 17)