Archive for the ‘Puasa’ Category

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Apakah hukum seseorang yang suka menangguh untuk qada puasa sehingga hampir kepada Ramadan berikutnya. Mohon pencerahan.

Dibandingkan dengan bulan lain, pada Syaaban Nabi SAW lebih banyak berpuasa sunat. Aisyah meriwayatkan Nabi SAW tidak pernah melakukan puasa sebulan penuh selain Ramadan.

Rasulullah SAW biasa berpuasa setiap bulan. Aisyah berkata: “Rasulullah SAW pernah berpuasa hingga kami mengira Baginda ini tidak pernah berbuka, dan pernah juga Baginda tidak berpuasa (sunat) hingga kami mengira Baginda tidak pernah berpuasa. Dan kadang-kadang Baginda melakukan puasa pada hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang berpuasa selama tiga hari setiap bulan, khususnya pada hari putih (bertarikh 13, 14, 15) setiap bulan Qamariyah, dan kadang-kadang Baginda selang sehari iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka seperti yang dilakukan Nabi Daud.”

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud iaitu Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Nabi SAW juga sering berpuasa pada Syaaban seakan-akan perkara itu persiapan menghadapi Ramadan. Adapun berpuasa selama beberapa hari tertentu tidak terdapat riwayatnya sama sekali.

Seseorang Muslim baik lelaki atau wanita yang tidak dapat menjalankan puasa Ramadan selama beberapa hari kerana sakit, haid atau uzur, wajib mengqada semuanya jika ada kesempatan pada bulan dalam setahun sebelum datangnya Ramadan.

Segera lepas tanggungan

Oleh itu, dalam syarak ada kelapangan untuk mengqada puasa Ramadan yang tidak dapat dikerjakannya itu. Ia boleh qada puasa pada Syawal atau bulan sesudah itu.

Allah SWT berfirman: “Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Disebabkan manusia tidak mengetahui ajalnya maka bersegeralah mengqada puasa adalah sikap berhati-hati bagi dirinya. Di samping itu, kehidupan akhiratnya lebih terjamin dengan bersegera melepaskan tanggungannya.

Jika dia menangguhkannya kerana sesuatu uzur, contohnya cuaca sangat panas, keadaannya lemah atau sangat sibuk sehingga tidak dapat mengqada puasanya, maka ia boleh menqadanya hingga menjelang Ramadan berikutnya.

Apabila datang Syaaban sedangkan dia belum dapat mengqada puasanya maka hendaklah ia mengqadanya pada Syaaban kerana ia adalah peluang terakhir. Mengqada puasa pada Syaaban pernah dilakukan oleh Ummul Mukminin Aisyah.

Meskipun ada kesamaran bagi sebahagian orang mengenai masalah ini, tetapi kesamaran mereka tidak beralasan sama sekali daripada syarak. Kerana semua bulan adalah kesempatan untuk mengqada puasa Ramadan.

Contoh seseorang yang sakit pada Ramadan hingga Ramadan berikutnya. Dalam tempoh itu ia tidak dapat mengqadanya kecuali dengan sangat sukar dan sengsara. Qada puasa baginya boleh ditunda hingga sesudah Ramadan berikutnya apabila kesihatannya telah pulih kembali.

Allah SWT mengakhiri ayat puasa dengan firman-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

 

 

Oleh: Ustaz Muhammad Asyraf

Apabila menjelang 1 Syawal umat Islam akan bergembira menyambut Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri adalah kemuncak kegembiraan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT.

Mereka telah menghadapi siang Ramadan menahan lapar, dahaga dan rangsangan nafsu syahwat. Pada malamnya mereka akan tunduk sujud kepada Allah SWT melaksanakan `qiam Ramadan’ iaitu solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan iktikaf di masjid.

Maka sudah tentu mereka yang beriman dan beramal soleh ini layak untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Berlalunya Ramadan tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Pelaksanaan ibadah bukan pada Ramadan tetapi bulan lain juga kerana kehidupan manusia itu keseluruhannya adalah ibadah kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan puasa. Walaupun puasa selama sebulan Ramadan sudah tamat namun kita masih lagi diberi peluang berpuasa iaitu dengan melakukan puasa sunat antaranya puasa sunat enam hari Syawal.

Janji pengampunan

Direkodkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.”

Nabi SAW menjelaskan puasa enam hari pada Syawal pahalanya sama seperti puasa setahun secara penuh. Namun syaratnya, setelah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.

Jika puasa Ramadan, Nabi menjanjikan pengampunan dosa yang lampau maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti kita berpuasa setahun.

Berkenaan tatacara berpuasa enam hari Syawal, ada beberapa pandangan ulama. Kebanyakan ulama mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.

Maksudnya, lebih afdal seseorang itu berpuasa enam hari secara berturutturut bermula pada 2 Syawal. Pandangan ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin.

Dinukilkan daripada Ma’mar dan `Abd al-Razzak, seseorang itu tidak boleh berpuasa secara serta-merta dan berturut-turut selepas Aidilfitri kerana harihari permulaan dalam bulan Syawal adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum setelah sebulan menunaikan ibadah puasa Ramadan.

Menurut pandangan sebahagian ulama lain pula antaranya Waqi’ bin al-Jarrah iaitu guru kepada Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad bin Hanbal, puasa sunat enam Syawal yang dilakukan secara berturutturut mahupun berselang-selang adalah sama dari segi kelebihannya.

Oleh itu, seseorang yang telah berpuasa Ramadan mempunyai pilihan untuk terus berpuasa serta-merta selepas Aidilfitri secara berturut-turut atau berselang-selang selagi mana dia berada dalam Syawal.

Setelah diteliti ketiga-tiga pandangan ulama, maka dapatlah disimpulkan bahawa puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan serta-merta selepas sambutan Aidilfitri mahupun melakukannya selama enam hari pada mana-mana hari dalam bulan Syawal.

Namun lebih elok jika puasa enam hari itu dipercepatkan jika tiada sebarang halangan. Jika kita tidak mampu berpuasa serta-merta, maka bolehlah kita memilih untuk berpuasa enam hari sepanjang Syawal.

Melihat suasana Aidilfitri kebanyakan masyarakat Malaysia yang akan mengadakan rumah terbuka, budaya kunjung- mengunjung ini mengambil masa berhari-hari malah ada mengadakan rumah terbuka sehingga penghujung Syawal.

Oleh itu, sesiapa yang dijemput hadir ke majlis rumah terbuka maka tidak perlulah berpuasa kerana puasa enam boleh dilakukan pada hari lain. Begitulah juga mereka yang menjemput tetamu datang ke rumah, maka seelok-eloknya mereka menjamu selera bersama-sama tetamu yang hadir.

Namun jika mereka masih mahu berpuasa maka tidaklah salah tetapi perlulah menjelaskan dengan baik kepada tuan rumah mahupun tetamu yang datang.

Utama qada puasa

Berkenaan mana lebih penting, puasa ganti atau puasa sunat, seelok-eloknya kita mempercepatkan qada dengan menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan.

Ulama membahaskan keutamaan iaitu adakah lebih perlu menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat. Majoriti ulama menyatakan, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Sebahagian ulama pula berpendapat, seseorang yang wajib menggantikan puasa seperti wanita didatangi haid perlulah mendahulukan puasa wajib iaitu mengqadakan puasa ditinggalkan sebelum melaksanakan puasa sunat Syawal.

Pada pandangan mereka, urusan wajib perlulah disegerakan dan tidak boleh didahulukan dengan urusan lain walaupun urusan berbentuk sunat.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, sebahagian ulama membenarkan mendahulukan puasa enam hari Syawal ke atas puasa ganti. Namun pengecualian itu hanya untuk puasa enam hari Syawal saja.

Perkara ini juga untuk memudahkan wanita turut sama mendapat kelebihan menunaikan puasa enam Syawal. Jika mereka mendahulukan puasa ganti kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan puasa sunat Syawal.

Pelengkap kekurangan Ramadan

ANTARA keistimewaan puasa enam Syawal adalah:

Puasanya sama seperti ganjaran berpuasa selama setahun.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim telah disebutkan Nabi SAW menjelaskan sesiapa yang berpuasa Ramadan dan menambah enam hari pada bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun. Imam Nawawi menyatakan, setiap kebaikan akan digandakan oleh Allah sebanyak sepuluh kali ganda.

Tambah beliau lagi, barang siapa melengkapkan Ramadan maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa sepanjang 10 bulan. Puasa enam hari Syawal digandakan sepuluh bersamaan 60 hari dan bersamaan dua bulan. Oleh itu, puasa Ramadan ditambah enam hari bulan Syawal sama pahalanya seperti puasa setahun.

Melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa pada Ramadan.

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyatakan, puasa enam hari Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat ketika mana seseorang itu melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Beliau mengkiaskan dengan kelebihan solat sunat rawatib sebelum mahupun selepas solat fardu yang menampung kekurangan terdapat padanya.

Supaya manusia tidak lupa menunaikan puasa sunat lain.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, manusia akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan seseorang muslim itu terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut Aidilfitri namun dengan adanya puasa sunat enam hari Syawal sekurang-kurangnya memberikannya peringatan dan motivasi untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan akan datang.

 

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya ada kemusykilan mengenai wuduk. Apakah hukumnya seseorang yang sedang berwuduk, lalu dia berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung, sedangkan ketika itu dia sedang berpuasa. Adakah puasanya sah. Jika bersahur dan masuk waktu imsak, adakah kita masih boleh makan atau dikehendaki berhenti.

Berkumur dan beristinsyaq (memasukkan air dalam hidung) ketika berwuduk ada yang mengatakan sunat seperti mazhab tiga imam iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie. Ada juga yang berpendapat fardu seperti mazhab Imam Ahmad yang menganggapnya sebahagian daripada membasuh muka.

Apakah perkara ini sunat atau wajib, maka sebaiknya berkumur dan beristinsyaq dalam berwuduk jangan ditinggalkan sama ada ketika berpuasa atau tidak. Hanya pada waktu berpuasa janganlah berlebihan melakukannya.

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Apabila engkau beristinsyaq, maka bersungguh-sungguhlah kecuali jika engkau sedang berpuasa.” (Riwayat Syafi’i, Ahmad, imam yang empat dan Baihaqi)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitab fatwanya, apabila orang yang berpuasa berkumur atau beristinsyaq ketika berwuduk, lalu airnya masuk ke tenggoroknya tanpa sengaja dan berlebih-lebihan maka puasanya sah.

Perkara ini sama saja apabila kemasukan debu jalan, tepung atau lalat ke tenggorok. Semua ini termasuk tidak sengaja yang dimaafkan, meskipun ada sebahagian imam tidak setuju dengan pendapat ini.

Boleh berkumur diluar wuduk

Di samping itu, berkumur di luar wuduk juga tidak mempengaruhi sahnya puasa asalkan airnya tidak masuk ke dalam perut (dengan sengaja atau berlebih-lebihan).

Sementara itu, apabila jelas bahawa azan subuh dilakukan tepat pada waktunya seperti termaktub dalam kalendar negeri tempat orang itu berpuasa, maka wajib atasnya meninggalkan makan dan minum seketika ia mendengar azan.

Bahkan seandainya dalam mulutnya masih ada makanan, dia wajib memuntahkannya sehingga sah puasanya. Adapun jika dia mengetahui azan itu dikumandangkan sebelum masuk waktunya selama beberapa minit atau setidak-tidaknya masih diragukan, maka ia boleh makan atau minum sehingga ia yakin terbitnya fajar.

Kini, perkara itu mudah diketahui dengan adanya kalendar waktu solat dan jam yang terdapat hampir pada setiap rumah. Pernah ada seorang lelaki bertanya kepada Ibn Abbas: “Saya makan sahur, maka apabila saya ragu saya berhenti. Ibn Abbas menjawab: Makanlah selama engkau ragu sehingga engkau tidak ragu lagi.”

Boleh makan jika ragu fajar

Imam Ahmad berkata: “Apabila seseorang merasa ragu terbitnya fajar, maka bolehlah dia makan sampai yakin benar bahawa fajar sudah terbit.”

Imam an-Nawawi berkata: “Sahabat Imam as-Syafi’i sepakat mengenai dibolehkan makan (sahur) bagi orang yang ragu terbitnya fajar. Dalilnya, Allah SWT membolehkan makan dan minum pada malam puasa hingga jelas batas terbit fajar. ”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang ditetapkan Allah SWT untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam iaitu fajar.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Nyatalah bahawa waktu imsak untuk beberapa waktu lamanya sebelum fajar secara tetap tidak ada ketentuannya dalam al-Quran dan sunnah. Perkara seperti ini termasuk sikap berlebih-lebihan dalam agama serta menafikan makna mustahab bagi orang yang mengakhirkan sahur seperti dianjurkan oleh Nabi SAW.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya hamil sudah hampir sembilan bulan. Saya bimbang jika berpuasa akan menjejaskan kesihatan anak dalam kandungan. Bolehkah jika saya tidak berpuasa dan jika boleh bagaimana cara menggantikannya. Adakah saya perlu membayar fidyah.

Hukum puasa wanita hamil atau menyusu anak, apabila bimbang atas anak yang dikandungnya atau yang disusukan, maka ulama sepakat boleh tidak berpuasa. Cuma yang menjadi perbezaan pendapat dalam kalangan ulama iaitu sama ada wajib qada (ganti) saja atau perlu membayar fidyah dan qada. Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i, wanita hamil dan menyusu anak, apabila bimbang terhadap anaknya saja tetapi tidak bimbang terhadap dirinya, maka boleh tidak berpuasa tetapi wajib bagi mereka mengqada puasa dan membayar fidyah. Jika mereka bimbang atas dirinya saja atau bimbang atas dirinya dan anaknya, maka hanya wajib qada puasa di waktu lain. Kewajipan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” (Surah al-Baqarah, ayat 184) Ganti puasa atau bayar fidyah

Kewajipan qada juga berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maka sesiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ia tinggalkan itu pada hari-hari lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184) Ada pandangan lain seperti pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan qada saja dan tidak perlu membayar fidyah. Alasannya wanita yang hamil atau sedang menyusui berkedudukan sebagai orang yang sakit. Hal ini seperti mana dikatakan oleh Imam Hasan al-Basri ketika ditanya mengenai wanita yang hamil dan menyusu anak: “Adakah sakit yang lebih berat daripada wanita yang mengandung? Dengan itu, mereka tergolong yang mendapat rukhsah untuk tidak berpuasa.” Jika orang yang sakit dan dalam perjalanan tidak diwajibkan membayar fidyah, maka wanita hamil atau menyusu anak juga tidak wajib membayar fidyah. Cuma kewajipannya adalah mengqada puasa di hari lain.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Di kampung saya ada sebahagian yang melakukan puasa sunat selama sebulan penuh pada bulan Rejab, Syaaban, Ramadan dan enam hari pada Syawal. Adakah perkara ini dilakukan Nabi Muhammad SAW. Saya ada mendengar hadis menyebut Rejab bulan Allah SWT, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku. Bagaimana kedudukan hadis ini dan adakah ia hadis sahih.

Rejab termasuk bulan haram dan puasa pada bulan haram diterima dalam keadaan apa pun. Tetapi tidak terdapat riwayat Nabi SAW berpuasa sebulan penuh selain Ramadan. Puasa sunat yang paling banyak Baginda lakukan ialah pada Syaaban tetapi itu pun tidak sebulan penuh. Itulah sunnah Nabawiyyah mengenai masalah ini kerana dalam bulan selain Ramadan, Baginda biasa berpuasa dan berbuka seperti disebut dalam riwayat Aisyah: “Baginda sering berpuasa sehingga kami katakan Baginda tidak pernah berbuka (tidak berpuasa) dan Baginda juga sering berbuka sehingga kami katakan baginda tidak pernah berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Jangan puasa tanpa henti

Berpuasa penuh pada Rejab, Syaaban dan Ramadan serta berturut-turut ditambah enam hari pada Syawal dengan tidak berbuka kecuali pada Hari Raya tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW, sahabat dan salafus soleh. Jadi yang lebih utama ialah berpuasa beberapa hari dan berbuka (tidak berpuasa) beberapa hari. Jangan berpuasa secara terus-menerus. Perbuatan itu dikira baik jika kita mengikut perbuatan salaf kerana sesiapa yang menginginkan pahala sempurna, maka hendaklah ia mengikuti perbuatan Nabi SAW iaitu jangan berpuasa pada Rejab dan Syaaban secara penuh. Inilah lebih utama.

Tidak ada satu pun hadis sahih yang menerangkan masalah keutamaan Rejab. Namun dalam al-Quran, Allah SWT menyebut beberapa bulan diharamkan (diutamakan) iaitu dalam surah at-Taubah ayat 36: “Di antara empat bulan haram.”

Keempat-empat bulan yang dimaksudkan adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Begitu pula tidak ada satu hadis sahih yang mengkhususkan keutamaan Rejab melainkan hadis hasan yang menyatakan Nabi SAW banyak berpuasa pada Syaaban. Ketika ada orang yang bertanya mengenai hal ini, Baginda menjawab: “Sesungguhnya dia adalah bulan yang dilupakan orang iaitu antara Rejab dan Ramadan.”

Hadis mungkar, lemah

Daripada hadis ini dapat difahami Rejab itu memiliki keutamaan. Adapun hadis: “Rejab adalah bulan Allah SWT, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku.” Ia adalah hadis mungkar dan sangat lemah, bahkan banyak ulama menganggapnya hadis maudhu’ atau dusta.

Hadis itu tidak ada nilainya sama sekali baik dilihat dari sudut ilmiah mahupun agama. Begitu juga hadis lain mengenai keutamaan Rejab yang menyatakan orang yang melakukan solat begini akan mendapatkan ini dan orang yang beristighfar sekali akan mendapatkan pahala seperti ini, semua itu adalah tindakan berlebihan dan penuh kebohongan.

Antara tanda kebohongan hadis itu ialah isinya yang berlebihan. Menurut ulama: “Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar bagi perkara yang kecil atau ancaman dengan azab yang sangat pedih bagi dosa kecil menunjukkan hadis itu dusta.”

Contohnya, hadis: “Memberi sesuap makan ke dalam perut orang yang lapar itu lebih baik daripada membangun seribu masjid.” Ini adalah hadis yang mengandungi kebohongan kerana tidak masuk akal memberi makan sesuap nasi ke dalam perut orang yang lapar lebih besar pahalanya daripada pahala membangun seribu masjid dan hadis keutamaan Rejab itu termasuk jenis hadis ini.

 

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

Saya amat kesal kerana ada rakan di tempat kerja walaupun berpuasa tetapi tidak menjaga percakapan serta tingkah laku. Saya ingin tahu apakah kesannya orang yang berpuasa dan pada masa yang sama mengumpat, bercakap bohong atau melihat wanita lain (bukan muhrimnya) dengan syahwat. Adakah sah puasanya?

Puasa yang bermanfaat dan diterima Allah ialah yang dapat membersihkan jiwa, menguatkan kemahuan kepada kebaikan dan membuahkan takwa seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Oleh itu, wajib bagi orang yang berpuasa untuk menahan diri daripada perkataan atau perbuatan yang menyebabkan mereka hanya mendapat lapar serta dahaga tetapi tidak meraih pahala.

Jangan mencaci

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa itu perisai, maka apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah berkata kotor dan berbuat bodoh dan apabila ada seseorang yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa.”

Diriwayatkan an-Nasa’i, Ibn Majah dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu daripada solat malamnya itu kecuali tidak tidur.”

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan yang buruk, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari, Ahmad dan lain-lain)

Ibn Arabi berkata, hadis ini mengandungi makna bahawa orang itu tidak diberi pahala atas puasanya. Pahala puasanya telah hilang disebabkan ucapan dusta dan dosa lain yang dilakukan.

Mengumpat batal puasa

Ibn Hazm berpendapat mengumpat atau bercakap bohong membatalkan puasa seperti makan dan minum. Pendapat itu diriwayatkan daripada sebahagian sahabat dan tabi’in.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, kemaksiatan dapat menghilangkan ‘buah’ puasa dan merosakkan maksud disyariatkan berpuasa itu. Oleh kerana itulah salaf yang salih menaruh perhatian yang besar untuk menjaga puasanya daripada perkataan dan perbuatan sia-sia.

Umar berkata: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada minum dan makan tetapi juga daripada ucapan dusta, batil dan sia-sia.”

Jabir berkata: “Apabila anda berpuasa maka hendaklah pendengaran, penglihatan dan lisan anda juga berpuasa daripada dusta dan dosa. Janganlah anda menyakiti pekerja anda, hendaklah anda bersikap merendah diri dan tenang pada hari anda berpuasa. Dan janganlah anda samakan hari berbuka anda dengan hari berpuasa anda.”

Abu Dzar pernah berkata kepada Thaliq bin Qais: “Apabila engkau berpuasa, maka jagalah dirimu semampu mungkin.” Oleh itu, jika sedang berpuasa Thaliq tidak keluar rumah kecuali untuk menunaikan solat.

Abu Hurairah dan sahabatnya apabila berpuasa mereka duduk di masjid dan berkata: “Kami menyucikan puasa kami.” Maimun bin Mahran berkata: “Puasa yang paling ringan ialah puasa daripada makan dan minum.” Seperti mana puasa memiliki pengaruh dan pahala, demikianlah juga ghibah, dusta dan sebagainya.

 

Oleh: Hizbur Rahman

SALAH satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Ini juga termasuk dalam konsep rumah terbuka.

Amalan ini memberi manfaat besar dan faedah berguna dalam konteks persaudaraan serta perpaduan ummah. Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai, susah menjadi mudah. Melalui amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan.

Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, hormat-menghormati, kerjasama dan memahami sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Islam adalah agama yang mempunyai sistem cara hidup sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu yang melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah:

Berniat baik atas kunjungannya.

Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan.

Jangan tolak undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka untuk menimbulkan kegembiraan pihak yang mengundang.

Hendaklah menolak undangan yang ada aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim serta suka membesar diri.

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ketika berkunjung hendaklah memilih waktu sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaannya waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Mohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.

Selaku tetamu adalah sangat digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah. Bagaimanapun amalan berjabat tangan ini mesti dilakukan mengikut lunas Islam.

Sabda Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”

Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.

Jaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, jangan mengangkat suara ketika berada dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziarah.

Bagi pihak tuan rumah, Islam menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya menghormati dan memuliakan tetamu. Pada masa sama, tuan rumah juga disaran menghidangkan jamuan terbaik mengikut kemampuan.

Jangan ada maksud untuk berbangga tetapi tujuannya untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting ialah menjaga cara makan minum. Mulakan dengan membaca Bismillah dan akhiri dengan Alhamdulillah.

Jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum.

Oleh: Hizbur Rahman

SEMINGGU lagi kita akan menyambut Ramadan dan diharap semua Muslimin di seluruh penjuru dunia mendoakan kedatangan bulan mulia ini akan membawa kebaikan terutama kedamaian serta perpaduan umat Muhammad.

Masih ramai Muslimin, di Palestin, Chechnya, Kashmir, Turkestan Timur, Indonesia dan beberapa negara lain memasuki Ramadan ini dalam suasana kekerasan, konflik serta perang.

Keinginan mereka yang tidak berdosa yang terjebak dalam kemiskinan, kelaparan dan wabak penyakit ialah mereka ingin kedamaian, perpaduan serta hidup dalam suasana aman tanpa gangguan untuk beribadah pada Allah.

Alangkah bersyukurnya kita menyambut Ramadan dengan ketenangan dan semoga segala permasalahan yang muncul berakhir. Oleh itu, Muslimin harus bersatu dan menjadikan al-Quran panduan kehidupan.

Ramadan adalah bulan yang berlimpah pahala seperti digambarkan dalam al-Quran dan dianugerahkan pada bulan ini satu malam yang lebih baik daripada seribu malam, supaya umat Islam berlumba-lumba mendapatkan ganjaran seperti dijanjikan.

Menunaikan kewajipan berpuasa untuk mencapai reda Allah bukti keimanan yang kuat, kesucian jiwa, keikhlasan hati dan rasa takut kepada Allah. Puasa adalah suatu bentuk penyembahan khusus antara hamba dan Allah kerana hanya Allah mengetahui niat, keikhlasan, kemurnian dan perhatian hamba-Nya.

Sebab itu rahsia dan pahala puasa itu hak Allah untuk menentukannya berdasarkan niat serta kesungguhan seseorang itu berpuasa kerana ada juga yang berpuasa tetapi akhirnya mendapat lapar dan dahaga saja.

Rasulullah SAW memberi berita yang menggembirakan kepada umatnya dalam hadis yang bermaksud: “Sungguh! Berbahagialah bagi orang yang melalui bulan (Ramadan) ini dengan berpuasa, beribadah dan melakukan amal kebaikan (amal salih).”

Allah menyampaikan kewajipan berpuasa dalam firman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Kebiasaannya apabila orang besar datang berkunjung ke kawasan atau kampung kita, sambutan rapi lagi terperinci akan dilakukan bagi menyambut tetamu terhormat itu.

Sebenarnya, layanan sama patut diberi kepada Ramadan mulia yang datang setahun sekali, malah datang bersama pelbagai ganjaran sukar untuk ditolak bagi mereka bersedia memenuhi tuntutan serta syarat ibadat puasa yang sempurna.

Muharam yang disambut sebagai tahun baru Islam tidak disebut dalam al-Quran, begitu juga Syawal iaitu bulan perayaan umat Islam tetapi Ramadan disebut serta diingatkan akan kelebihan serta kemuliaannya supaya umat Islam tidak ketinggalan menyambut kehadirannya.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Jika umatku mengetahui apa ganjaran yang ada pada Ramadan nescaya mereka mengharapkan tiap-tiap bulan dalam setahun itu dijadikan Ramadan.”

Masalahnya, orang kita belum lagi Ramadan tiba, sudah sibuk berkira mengenai hari raya, tempahan baju raya sudah dibuat sebulan dua lalu, ada yang sudah bercadang membeli langsir dan sofa baru.

Bukan menghalang tetapi persiapan menyambut raya biarlah seiring dengan persiapan menyambut Ramadan, meningkatkan ilmu mengenai ibadat puasa dari segi ilmu, hukum dan amalan baik yang digalakkan seperti membanyakkan baca al-Quran serta menunaikan amalan sunat lain.

Persediaan dari sudut kesihatan juga penting kerana badan yang sihat membolehkan kita beribadah dengan selesa. Ini termasuk menjaga makan, tidur mencukupi, supaya dapat menunaikan solat tarawih dan qiamullail.

Sementara persediaan dari sudut kewangan, bagi yang bekerja makan gaji, simpanlah sedikit gaji bulan ini untuk bersedekah pada Ramadan nanti kerana sedekah RM1 di bulan lain tidak sama pahalanya bersedekah pada Ramadan.

Banyak lagi perlu dilakukan supaya kehadiran Ramadan kali ini menjanjikan rahmat Allah serta berjaya mempertingkatkan keimanan kepada Allah. Jangan nanti, Ramadan berlalu tetapi kita tetap di tahap sama, tiada perbezaan apatah lagi peningkatan iman.

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Oleh: Hizbur Rahman

RAMADAN, bulan penuh keberkatan dan dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu 83 tahun. Malam lailatul qadar yang dicari setiap kali Ramadan adalah anugerah terbaik dalam kehidupan manusia.

Sedarkah kita Allah telah memuliakan umatnya pada malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim.

Menurut pandangan sebahagian ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam lailatul qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui Jibril sebagai wahyu beransur-ansur selama 23 tahun.

Bagi orang yang beriman, malam itu adalah peluang untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatul qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadar, ayat 1-5)

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita gunakan peluang dan tawaran berharga ini bagi menambah bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Lailatul qadar malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Beruntung siapa yang memperolehnya dan rugi yang melepaskannya.

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jugalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Dukhan, ayat 3-6)

Berdasarkan ayat itu, sesetengah ulama berpendapat Allah telah menentukan rezeki, qada’ dan qadar ke atas segala makhluk-Nya selama setahun. Justeru, tidak pelik mengapa rahsia kedatangannya di sembunyikan Allah kepada kita.

Menurut Imam al-Razi, antara rahsia disembunyikan malam lailatul qadar supaya umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadan tanpa memilih malam tertentu saja.

Bimbang umat Islam tidak berusaha merebutnya dengan amal ibadat walaupun ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah.

Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar sehingga mampu memperbanyakkan ibadat lalu memperoleh pahala daripada kesungguhannya itu. Melahirkan umat yang menghidupkan malam Ramadan dengan harapan bertemu lailatul qadar sehingga meningkat amal solehnya.

Lailatul qadar mengukur kekuatan iman dan takwa umat Islam selama ini. Walaupun ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat paling kuat berdasarkan hadis diriwayatkan Aisyah bermaksud: “Cari malam lailatul qadar di malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan lailatul qadar? Rasulullah SAW menggariskan beberapa langkah kepada umatnya supaya berusaha sedaya upaya mendapatkan lailatul qadar ini.

Menurut Imam Bukhari dan Muslim, Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.”

Penulis ialah naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis